Oleh: Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 MEI 2024 : Tanaman koko turut diberi perhatian Kerajaan Negeri Pahang di mana seluas 20 hektar ladang serta sebuah mini pemprosesan koko dibangunkan di Lipis.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, ladang berkenaan termasuk di bawah Program Rangsangan Pengeluaran Koko (RPHK) pada tahun 2002-2023.
Menurutnya, selepas pandemik Covid-19 didapati banyak kebun-kebun koko terbiar dan kerajaan pusat juga telah memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi pemulihan kebun termasuk agihan bantuan input pertanian seperti baja, racun perosak dan peralatan kecil pertanian di Semenanjung termasuk di Pahang.
“Kementerian Perladangan dan Komoditi melalui Lembaga Koko Malaysia (LKM) mensasarkan peluasan kawasan tanaman koko kepada 5,000 hektar di seluruh Malaysia dalam jangka masa lima tahun.
“Usaha ini akan digarap bersama dengan Kerajaan Negeri untuk mencadangkan kawasan dan peserta yang sesuai bagi pembangunan tanaman koko khususnya di negeri ini. Tanaman ini sangat bersesuaian diintegrasikan dengan tanaman durian yang sememangnya terkenal di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Pulau Tawar, YB Tuan Yohanis Ahmad sesi soal jawab sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi berkata, galakan perusahaan hiliran koko yang cenderung kepada pembuatan coklat sentiasa dibuka kepada pengusaha yang berminat.
“Keutamaan seharusnya kepada aktiviti pengembangan perniagaan bagi usahawan makanan, pastri atau biskut yang sudah pasti menggunakan koko sebagai bahan penting dalam produk hasil mereka,” katanya. -PAHANGMEDIA