Oleh: Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 MEI 2024 : Sebanyak 288 bilangan cadangan projek bina baru dan naik taraf jalan telah dimohon kepada Kerajaan Persekutuan iaitu kepada Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dalam Rolling Plan 4, RMKe-12 dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM53.463 bilion.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Tuan Ir Razali Kassim berkata, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pengangkutan Negeri Pahang juga sentiasa mengambil berat berhubung isu kesesakan di persimpangan-persimpangan jalan utama dalam bandar Kuantan serta di jalan utama Cameron Highlands.
“Begitu juga isu penyelenggaraan jalan termasuk fokus menangani isu banjir di LPT 1 oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia dengan menaiktaraf 14 lokasi , sepuluh lokasi yang telah dikenalpasti sebagai kawasan banjir dan empat lokasi sebagai kawasan potensi banjir) secara berperingkat selain cadangan pelebaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) telah dirancang untuk pelaksanaannya dan ketika ini sedang di peringkat pra-pembinaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menyentuh tentang perkembangan pembinaan ECRL di negeri ini, sebanyak tujuh buah stesen dibina merentasi daerah Kuantan, Maran, Temerloh dan Bentong manakala daerah-daerah lain juga dalam penelitian bagi pembangunan spur line yang menghubungkan daerah tersebut ke laluan utama ECRL sedia ada.
“Ketika ini BPEN telah melantik pihak UMPSA bagi menjalankan Kajian Bagi Kebolehlaksanaan Pembinaan Spur Line Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Negeri Pahang yang melibatkan cadangan pembinaan spur line di daerah Pekan, Rompin Raub dan Lipis. Kajian selama sepuluh bulan ini masih berlangsung dan hasil kajian akan dikemukakan pada 2 Julai nanti kepada Kerajaan Negeri.
“Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan RM2 juta bagi tahun 2024 untuk menaiktaraf kemudahan latihan Pahang Skills kepada Pusat Kecemerlangan dengan membangunkan kursus baharu iaitu kursus Penyelenggaraan Landasan Keretapi selaras dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang kini dalam proses penyiapan fasiliti kursus tersebut dengan kerjasama pihak Malaysia Railway Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communication Construction Company (CCCC) selaku kontraktor pemaju utama projek ECRL,” katanya.
Menurutnya lagi, pengambilan pelatih seramai 100 orang akan dibuat pada tahun 2025 bagi menyertai kursus selama setahun dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), manakala bagi mempromosikan pelancongan keretapi di laluan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM 150,000 untuk tahun 2024 bagi mempromosikan pakej pelancongan kereta api yang melibatkan lima stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) iaitu di Stesen Kemayan, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis dan Merapoh.
Sementara itu, menyentuh tentang portfolio Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengagihkan Peruntukan Mengurus sebanyak RM1.493 billion dan peruntukan Pembangunan sebanyak RM149.278 juta kepada negeri Pahang melalui Jabatan Kesihatan Negeri Pahang.
“Sejumlah RM15.5 juta telah diperuntukkan bagi menaik taraf dan bina semula 40 buah klinik daif di seluruh Negeri Pahang dan dua projek telah berjaya disiapkan iaitu Klinik Desa Jengka 25 dan Klinik Desa Kampung Raja, Cameron Highlands manakala 38 projek lagi dijangka siap sebelum pertengahan bulan Disember 2024.
“Di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe12) sebanyak 16 projek pembangunan fizikal dengan siling peruntukan sebanyak RM808.427 juta sedang giat dilaksanakan. Ini termasuk pembinaan baharu Klinik Kesihatan Kuala Tahan, Jerantut dengan peruntukan RM26 juta serta pembinaan bangunan Main Switch Board (MSB) (dengan izin) dan penambahan kapasiti set janakuasa tunggu sedia Hospital Bentong dengan peruntukan berjumlah RM9.362 juta,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang yang turut menyumbang kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti bagi rakyat Negeri Pahang di mana JKN Pahang telah menerima peruntukan bagi menaiktaraf perkhidmatan bersalin di tiga buah klinik di sempadan negeri iaitu Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman, Klinik Kesihatan Perwira Jaya, Felda Selancar, Rompin dan Klinik Kesihatan Sungai Ular, Kuantan dengan keseluruhan peruntukan RM6.37 juta.
“Sumbangan ini adalah bagi memastikan rakyat yang tinggal berhampiran sempadan negeri masih boleh melahirkan anak seterusnya mendaftarkan kelahiran dalam negeri Pahang tanpa perlu mendapatkan perkhidmatan kesihatan di negeri bersempadan,” katanya. –PAHANGMEDIA

