Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 08 MEI 2024 : Titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang menzahirkan rasa bangga dengan usaha Kerajaan Negeri Pahang membanteras peneroka haram dilihat sebagai tanda sokongan kepada tindakan yang dijalankan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long berkata ini membuktikan tindakan yang diambil Kerajaan Negeri Pahang satu tindakan tepat dan betul.
“Antara titah Tuanku yang menarik perhatian saya ialah tentang ketirisan hasil negeri. Baginda telah melahirkan rasa bangga di atas langkah-langkah dan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam membanteras kegiatan mencuri hasil bumi dan juga pencerobohan tanah-tanah kerajaan.
“Dan ia membuktikan bahawa tindakan kita sekarang telah di endorse oleh Kebawah Duli Tuanku dan tindakan kita ini sebenarnya tindakan yang tepat dan betul.
“Sebagaimana kita semua maklum, keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang telah memberikan kemenangan kepada pihak
Kerajaan Negeri dalam kes ini telah memberi kekuatan baru untuk Kerajaan mengambil tindakan tegas dan berani terhadap pihak-pihak yang membelakangkan undang-undang ini,” katanya.
Beliau Beliau berkata demikian pada Perbahasan Usul Titah DiRaja pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri tidak boleh membiarkan ketirisan hasil ini daripada terus berlaku kerana ia mendatangkan kerugian kepada banyak pihak.
“Kita tidak boleh lagi membiarkan hal-hal yang menyebaban ketirisan dan juga hal yang menyebabkan kerosakan kepada alam sekitar dan sebagainya (berlaku).
“Itu hanya merugikan kita walau apa pun sekali alasan yang diberikan oleh penceroboh dan pencuri ini bagi menghalalkan tindakan mereka.
“Kita jangan takut dan teruskan tindakan ini untuk memastikan bahawa penguatkuasaan ini dapat dijalankan dengan secara yang lebih komprehensif,” katanya. -PAHANGMEDIA

