Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 08 MEI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang telah meningkatan kadar elaun latihan sebanyak 150 peratus kepada para atlet di negeri ini bagi menambah baik kebajikan para atlet bermula Januari lalu.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata pemberian elaun ini melibatkan seramai 603 atlet Pahang keseluruhannya.
“Seramai 603 atlet Pahang iaitu melibatkan 327 atlet (lelaki) dan 276 atlet wanita di bawah umur 17 tahun iaitu atlet muda di bawah Program Future Elephant Warriors.
“Atlet ini pula telah menikmati allowance latihan sekurang-kurangnya RM250 sebulan bermula bulan Januari lalu berbanding hanya RM100 sebulan pada tahun-tahun sebelum ini.
“Peningkatan kadar allowance sehingga 150 peratus ini adalah inisiatif julung kali dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang bagi menambah baik kebajikan atlet termasuklah di kalangan para pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Encik Ho Chi Yang berkenaan usaha Kerajaan Negeri dalam mencungkil bakat atlet baharu dalam kalangan pelajar ketika sesi pertanyaan kepada Menteri Besar pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa bersungguh dalam melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mencungkil dan mengetengahkan bakat atlet baharu dalam kalangan pelajar sekolah sehingga ke peringkat lebih tinggi.
“Ia sekaligus memastikan agenda kebajikan para atlet sentiasa terbela ini penting bukan sahaja untuk membantu mengekalkan kesihatan mental dan fizikal, para pelajar juga dapat mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti berfaedah dan mengelakkan mereka daripada terjerumus kepada aktiviti yang tidak sihat sebaliknya memupuk perpaduan, tambahkan pendapatan mereka, dan meningkatkan jati diri anak-anak Pahang melalui bidang sukan.
“Kerajaan Negeri Pahang turut komited dalam memberikan penumpuan kepada pembangunan sukan komuniti bagi mencukil bakat sukan termasuklah di kalangan pelajar sekolah dan atlet kurang upaya banyak programnya antaranya adalah Program Inspire Talent iaitu program pencarian bakat yang dikhususkan untuk pelajar dari golongan Orang Kurang Upaya.
“Melalui program ini mereka yang terpilih akan diserap untuk menyertai beberapa acara berprestij sukan termasuklah para sukma kebangsaan dan antara pemain Pahang yang dilahirkan melalui program ini adalah Loh Chi Hoi, atlet memanah dan Muhammad Syazwan, atlet tennis berkerusi roda, di mana mereka kini telah mewakili negara untuk bertanding ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya. – PAHANGMEDIA

