Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
JERANTUT, 16 APRIL 2024 : Pahang terus komited memperbaiki kedudukan negeri dalam senarai pungutan pingat sepanjang Sukan Malaysia (SUKMA) yang dijadualkan berlangsung di Sarawak pada Ogos nanti.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, perkara berkenaan telah dibincangkan dan dibuat penilaian mengenai sasaran Pahang untuk menduduki kelompok lima negeri terbaik pada kejohanan itu nanti.
“Perjumpaan bersama jurulatih hari ini adalah penting, kita tahu mereka adalah tulang belakang yang memastikan prestasi dan pencapaian atlet dapat ditingkatkan seterusnya merealisasikan sasaran pingat pada SUKMA nanti.

“Kerajaan Negeri juga terus komited melalui penyaluran peruntukan dan usaha membela kedudukan jurulatih melalui penambahan elaun dan sebagainya. Kita nak baiki kedudukan, segala aduan dan cadangan yang disuarakan sudah pasti kita ambil berat.
“Saya sendiri dah turun padang lihat latihan di 20 jenis sukan. Secara peribadi saya belum berpuas hati dan akan melihat persediaan serta usaha yang dilakukan atlet di setiap lapangan sukan yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kem Motivasi Jurulatih SUKMA Pahang 2024 di Xcape Resort, Kuala Tahan.
Turut hadir Pengarah Akademi Kejurulatihan Kebangsaan Institut Sukan Negara, Puan Wan Nor Afzan Wan Hamadi dan Jurulatih Profesional CMC Group, Encik Abdul Hafiz Mad Radzi.
Sementara itu, tempoh penyelesaian berkaitan aduan langsung jurulatih kepada beliau mengenai keperluan kelengkapan sukan akan mengambil sedikit masa namun ia dijangka selesai dalam bulan ini.
“Dari segi peralatan dan kelengkapan atlet kini dalam radar kita..semua dah ditempah, InsyaAllah dalam bulan ini hal peralatan asas akan selesai, cuma kelengkapan seperti peluru melibatkan import dan urusan kastam.
“Dari segi infrastruktur memang ambil sedikit masa namun ia tidak seharusnya menjadi satu alasan atau isu yang boleh mengurangkan motivasi serta semangat atlet kita untuk mencapai kejayaan,” katanya.
Pada SUKMA Sarawak kali ini, Pahang menghantar seramai 796 kontinjen terdiri daripada 327 atlet lelaki manakala 276 atlet wanita.
Beliau berharap segala keprihatinan dan kesungguhan Kerajaan Pahang dalam memartabatkan sukan tanahair akan dapat memberikan kemenangan dan mengharumkan nama Pahang di SUKMA Sarawak 2024 nanti. – PAHANGMEDIA

