Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 19 APRIL 2024 : Tindakan pelupusan beras dan barang dapur di Jalan Pintasan Rumpun Makmur – Gunung Senyum, Temerloh dilakukan ekoran kerosakan barangan berkenaan kerana tercemar dengan bangkai tikus dan bubuk / kutu beras.
Bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, YH. Dato’ Sri Dr. Haji Ismail Haji Mohamed Said berkata, disebabkan itu kesemua stok simpanan makanan berkenaan tidak lagi sesuai diagihkan kepada orang ramai dan perlu dilupuskan.
Tindakan diambil selepas siasatan dilakukan ekoran aduan yang diterima pada 5 April 2024 tentang bau busuk yang datang dari stor simpanan barangan dapur berkenaan.
“Hasil siasatan di stor simpanan ini mendapati terdapat beberapa ekor bangkai tikus dan beras serta barangan dapur ini telah dicemari bubuk / kutu beras.
“Barangan lain juga tidak lagi sesuai untuk diagihkan kepada orang ramai kerana tercemar,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Jelasnya, sebahagian daripada beras di stor terbabit telah diserahkan kepada penternak ayam dan itik di kawasan sekitar manakala sebahagian lagi telah dilupuskan.
Tambahnya, kesemua barangan dapur berkenaan dibeli menggunakan peruntukan peribadi dan tidak membabitkan mana-mana bantuan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan tidak melibatkan peruntukan barangan dalam tempoh COVID-19 atau persiapan pangkalan hadapan menghadapi banjir.
Beliau turut menyatakan tanggungjawab terhadap tindakan pelupusan barangan dapur berkenaan dan memohon maaf di atas kekhilafan dalam memantau cara pelupusan barang makanan itu.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail mengeluarkan kenyataan tersebut selepas video rakaman dan gambar-gambar pelupusan barangan dapur berkenaan tular di media sosial semalam. – PAHANGMEDIA

