Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
MARAN, 20 MAC 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah supaya pusat kemajuan diwujudkan di setiap kawasan yang dijadikan stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Baginda bertitah pusat kemajuan ini perlu dilengkapi dengan semua perkara dan memiliki keistimewaan tersendiri bagi menarik kedatangan pelabur.
“Saya dimaklumkan tadi Pekan Tajau sudah dipilih sebagai stesen ECRL dah kita berkehendakkan stesen ECRL ini akan menjadi satu pusat kemajuan atau growth center dari sudut serba serbi.
“Sudah tentu setiap stesen ini mempunyai elemen tarikan tersendiri dan terpulang kepada kebijaksanaan pemimpin-pemimpin di sini supaya menentukan Pekan Tajau dapat menjadi satu pusat yang boleh menjadi pusat tarikan pelabur-pelabur.
“Saya dimaklumkan di Temerloh telah ada menyediakan smart city sebesar 2,000 ekar. Carilah cara-cara lain, nama-nama lain, supaya mesti adakan kawasan perindustrian, kawasan growth center ini untuk dimajukan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Taklimat Pembangunan Daerah Maran di Akademi Tani Chenor di sini hari ini.
Hadir sama dan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib. -PAHANGMEDIA

