Oleh : Fairus Mohd
KUANTAN, 20 MAC 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menafikan dakwaan bahawa berlakunya pengabaian terhadap nasib Orang Asli yang terlibat dengan Projek Hidroelektrik Ulu Jelai, Cameron Highlands seperti yang disiarkan di sebuah portal berita pada 15 Mac lalu.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, tiga penempatan Orang Asli yang terlibat termasuk Kampung Pinang telah diberi perhatian sewajarnya.
Menurutnya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memenuhi tanggungjawab mereka dengan membayar sejumlah RM67 juta merangkumi pelbagai pakej pampasan, termasuk pembinaan penempatan baru, ganti rugi untuk pertanian dan ternakan, serta pembangunan infrastruktur elektrik.
“Sebanyak RM5.795 juta daripada jumlah tersebut disalurkan kepada Kerajaan Negeri Pahang untuk Projek Ekonomi Orang Asli yang berkaitan dengan pembinaan Empangan Susu di Cameron Highlands.
“Dari segi projek ekonomi pula, dengan kerjasama pelbagai agensi Kerajaan Negeri Pahang, pihak Pahang Orang Asli Corporation (ORACO) kini berada dalam proses akhir mendapatkan kelulusan tanah bagi pembangunan ladang kelapa sawit seluas 504 ekar di Mukim Ulu Jelai, Lipis. Bab tanah ini memang perlu perincian dan kita perlu mengikut langkah yang telah ditetapkan” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Wisma Pahang hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif ORACO, Dato’ Muhammad Olian Abdullah serta Pengurus Besar TNB Negeri Pahang, Encik Affendi Abd Rahman.
Sementara itu, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim berkata, ORACO akan menguruskan pembayaran dividen kepada 84 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat apabila ladang tersebut mengeluarkan hasil.
“Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) pula telah memberikan bayaran interim sebanyak RM300 sebulan selama 8 bulan kepada setiap 84 KIR ini, mulai Ogos 2021,” katanya.
Menurutnya, dakwaan berkenaan kebajikan Orang Asli tidak dijaga dengan baik adalah tidak tepat malah Kerajaan Pahang mementingkan keperluan setiap Orang Asli melalui penubuhan ORACO sendiri.
Jumaat lalu sebuah portal berita menyiarkan keluhan wakil masyarakat Orang Asli di Kampung Pinang yang mendakwa mereka masih bergelut untuk menyara kehidupan selepas dipindahkan untuk memberi laluan kepada pembinaan Empangan Hidroelektrik Ulu Jelai.
Projek empangan berkapasiti 372MW yang membekalkan sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan berfungsi sebagai tebatan banjir itu mula dibangunkan pada Mac 2011 dan beroperasi sepenuhnya pada September 2016. -PAHANGMEDIA

