Oleh: Fansurina Abdullah & Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
KUANTAN, 20 MAC 2024 : Sumbangan Kerajaan berjumlah RM1.27 juta yang disalurkan kepada 50 penerima dapat membantu meringankan beban rakyat.
Bagi Pengurus Bangunan Kompleks Teruntum, Encik Muhammad Aidi Akmal, yang menghidap kanser limfoma sejak 2021, sumbangan ini dapat meringankan kos rawatan yang diterima ketika ini.

Justeru, beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pahang di atas keprihatinan membantu rakyat yang memerlukan.
“Terima kasih Menteri besar dan juga kerajaan negeri Pahang atas sumbangan rawatan yang sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban dari segi kos rawatan yang saya hadapi sekarang ini,” katanya.
Turut menerima sumbangan ialah pasangan kembar Cik Nurul Najibah Zulkefli, 28, dan Cik Nurul Najihah Zulkefli, yang kini merupakan siswi Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Kedua-dua mereka bersyukur dengan sumbangan bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri.
“Alhamdulillah, dengan sumbangan ini insyaAllah dapat memotivasikan saya untuk habiskan pembelajaran Sarjana Pengajian Islam saya ini dengan lebih semangat dan akan menamatkan pengajian tepat pada masanya,” kata Nurul Najibah.
Dalam pada itu, Nurul Najihah juga turut berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Negeri kerana mengambil berat akan rakyatnya.

Sumbangan turut diberikan kepada Puan Ng Lai Chee, 50, wakil dari The Chinese Physicians & Druggist Association yang menerima sumbangan sebanyak RM5,000 bagi menjalankan Program Khidmat Masyarakat yang menyediakan perkhidmatan perubatan dan rawatan secara percuma menggunakan kaedah perubatan Cina.
“Terima kasih Menteri Besar beri kami sumbangan untuk program kami,” katanya.
Sumbangan itu telah disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini. – PAHANGMEDIA

