Oleh : Fairus Mohd
CAMERON HIGHLANDS, 6 MAC 2024 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menitahkan agar kerja-kerja baik pulih melibatkan 16 buah rumah di penempatan Orang Asli Sungai Ruil disegerakan.
Baginda bertitah, kos sebanyak RM3.5 juta serta kerja-kerja yang perlu dilakukan diyakini boleh mempercepatkan usaha membaik pulih 16 buah rumah yang terkesan akibat kejadian tanah runtuh pada 12 Oktober tahun lalu.
“Saya harap dipercepatkan lagi usaha untuk memperbaikinya (rumah) supaya mereka boleh balik ke rumah asal mereka. Dalam pada itu kita harap pihak JKR atau yang membaiki dapat buat dengan sebaik mungkin sebab kita tidak mahu berlaku lagi kejadian cerun runtuh secara mengejut begini,” titah baginda ketika bercemar duli melawat Kampung Orang Asli Sungai Ruil di sini.

Baginda turut berkenan menyampaikan kurniaan sumbangan kepada 17 buah keluarga yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh di Kuaters TNB lama yang menjadi penempatan sementara mereka.
Hadir mengiringi baginda ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaakob, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB Dato’ Ramli Mohd Noor, Pengarah JAKOA Pahang, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Encik Johari Alwi serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.
Dalam pada itu baginda turut berharap agar cerun-cerun lain di daerah Cameron Highlands ini juga dipantau bagi menjamin aspek keselamatan penduduk dan pelancong.
“Saya juga maklum di Cameron Highlands ini selalu berlaku kejadian tanah runtuh terutamanya pada musim tengkujuh. Saya harap keadaan cerun-cerun lain juga perlu diambil kira termasuk cerun di tepi jalan agar keselamatan pengguna jalan raya juga terjaga,” titah baginda.
Pada 12 Oktober tahun lalu, 88 orang penduduk terdiri dari 17 keluarga terbabit dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sungai Ruil susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku di perkampungan itu.
JKR pada awal November lalu, mendapati kerja baik pulih cerun yang runtuh itu akan mengambil masa dua tahun membabitkan peruntukan lebih RM3 juta di mana ia dijangka siap pada November 2025.
JAKOA menanggung sepenuhnya pembayaran sewa kuarters TNB bagi menempatkan 17 keluarga Orang Asli Sungai Ruil yang terjejas yang disewakan pada kadar RM500 sebulan seunit dan mengecualikan bayaran deposit sewaan selama tiga bulan seperti yang terkandung di dalam terma perjanjian penyewaan sebelum ini. – PAHANGMEDIA

