Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
JERANTUT, 5 MAC 2024 : Keberangkatan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke daerah Jerantut sempena Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang disambut rasa teruja penduduk setempat.
Bagi Encik Zainiza Mohd Pakri yang juga guru di Sekolah Kebangsaan Tebing Tinggi, kehadirannya di Kampung Gintong yang menjadi tempat persinggahan baginda adalah untuk membawa anak muridnya menyertai aktiviti memedak ikan.

“Saya ni sebenarnya wakil membawa murid daripada Sekolah Kebangsaan Tebing Tinggi seramai 28 orang murid untuk aktiviti untuk aktiviti memedak ikan.
“Saya dan rakan-rakan, warga sekolah, berasa amat teruja dengan kehadiran Tengku Mahkota ke Kampung Gintong ini untuk bersama-sama rakyat jalata di sekitar sini,” katanya.
Bagi Encik Muhammad Lokman Mohd Khifri, 31, dari Kampung Pulau Mansok pula, kehadiran baginda di daerah ini sangat dinantikan malah timbul rasa teruja untuk melihat putera raja itu dari jarak dekat.

“Saya datang ke kampung ni sebenarnya nak tengok Tengku Mahkota lah sebab selama ni tak pernah tengok (secara) depan-depan kan.
“Itulah sebabnya datang, kalau ada rezeki kesempatan (tengok). Saya rasa bangga dan seronoklah kan sebab bukan selalu pun dia mudik Sungai Pahang,” katanya.
Hadir dari Kampung Bukit Dinding, Puan Nursuzana Ramli, 46 , turut berkongsi perasaan teruja kerana berpeluang melihat Tengku Mahkota Pahang di hadapan mata.

“Saya datang ke Kampung Gintong ni sebab dengar cerita Tengku Mahkota nak datang. Sebenarnya anak saya pun ada masuk acara sekolah dia di sini (memedak ikan).
“Sudah mestilah gembira kan sebab saya tak pernah lagi jumpa dengan tuanku , inilah kali pertama..kalau dalam TikTok tu biasalah (tengok). Memang teruja dan gembiralah, itu yang teringin datang ke sini,” katanya.
Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim tiba di jeti Kampung Gintong kira-kira pukul 6.30 petang sebelum menyertai acara memedak ikan dan beramah mesra dengan rakyat yang hadir.
Baginda berkenan meneruskan aktiviti pada malam ini iaitu menontong wayang pacak berkisahkan ‘Pawang Nong’ yang merupakan Pawang Diraja Negeri Pahang suatu masa dahulu bersama rakyat sebelum bersemayam secara berkhemah di lokasi sama.
Esok baginda akan meneruskan ekspedisi hari terakhir menuju ke Lipis untuk menyertai aktiviti yang telah dijadualkan di daerah itu sebelum berangkat ke majlis penutupan ekspedisi di Kampung Tanjung Gahai. -PAHANGMEDIA

