Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 6 FEBRUARI 2024 : Keadaan projek-projek pembentungan yang mengambil masa lama sehingga mendatangkan gangguan kepada lalu lintas di sekitar Kuantan diberi perhatian sewajarnya daripada pihak Kerajaan Negeri.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Encik Sim Chon Siang berkata, lebih malang pihaknya menerima beberapa laporan mengenai kemalangan yang berlaku akibat kerja-kerja yang dijalankan masih gagal disiapkan mengikut tempoh yang diberikan.
Difahamkan, projek pembinaan loji rawatan kumbahan serantau dan rangkaian paip pembentungan di Kuantan melibatkan kawasan sejauh 70 kilometer bermula dari Teluk Cempedak sehingga Kempadang dan Sungai Soi telah dilaksanakan oleh pihak kontraktor Jalur Cahaya Sdn Bhd sejak 2018 dan ia masih berjalan sehingga sekarang.
“Hari ini saya dengan pihak kontraktor telah melawat lokasi-lokasi kritikal sejauh lebih 650 meter yang dimaklumkan seperti di Lorong Sri Kuantan 4 dan Lorong Sri Kuantan 6. Perkara ini telah dimasukkan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dan kita dah minta pihak kontraktor bagi penerangan mengenai status projek yang dilaksanakan selain masalah projek yang tidak selesai mendatangkan gangguan jalan dan juga menyebabkan tempat parkir terhad antaranya di kawasan Jalan Teluk Sisek.

“Kita minta mereka turap dan siapkan segera dan sediakan pengawal lalu lintas di sekitar kawasan terlibat bagi mengurangkan risiko bahaya kepada pengguna. Lubang-lubang yang mendap memang kena baiki segera, kita bagi tempoh sehingga 30 April depan untuk pihak kontraktor menyiapkan kerja-kerja berkaitan dan jika gagal, mereka akan didenda RM100,000 bagi setiap hari yang diambil selepas tempoh yang ditetapkan.
“Jangan salahkan Kerajaan Negeri kerana kita sentiasa lakukan pemantauan dan mengambil berat berkenaan masalah yang dihadapi rakyat. Masalah sekarang ini (projek tak siap) adalah tanggungjawab kontraktor sepenuhnya.
“Saya harap pengguna-pengguna di kawasan terlibat lebih berhati-hati dan bersabar bagi tempoh dua hingga ke tiga bulan lagi sehingga projek-projek ini siap sepenuhnya,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan lawatan di beberapa tapak projek pembentungan di sekitar Jalan Teluk Sisek.
Sementara itu, Pengurus Besar Jalur Cahaya Sdn Bhd, Encik Razali Mohamed yang ditemui turut mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima surat amaran kali keempat daripada Kerajaan Negeri berkenaan kerja-kerja yang masih tidak disiap.
“Saya ingin menerangkan bahawa kerja-kerja banyak tertangguh akibat musim pandemik sejak tahun 2020 selain faktor masalah utama seperti aliran air dalam tanah. Ini kerana paip pembentungan perlu ditanam sedalam 10 hingga 15 meter dan keadaan pasir yang halus dan aliran air sememangnya menyukarkan kerja-kerja yang dilakukan selain menyebabkan berlakunya kejadian mendap di kawasan projek.
“Bagaimanapun pihak kami akan berusaha menyiapkan kerja-kerja mengikut tempoh yang telah diberikan iaitu sebelum akhir bulan April selain menyiapkan kerja-kerja loji rawatan kumbahan (tidak melibatkan pengguna jalan) mengikut tempoh notis terkini yang berakhir pada Jun tahun hadapan,” katanya. -PAHANGMEDIA

