Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 FEBRUARI 2024 : Kerajaan Pahang sentiasa mengalu-alukan usaha pemain industri untuk mengukuhkan ekonomi tempatan serta menjadikan Kuantan sebagai hab inovasi serta perindustrian bagi pengembangan ekonomi negeri.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata pembukaan kilang baharu dapat mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi Negeri Pahang pada tahun lepas.
“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri memang mengalu-alukan segala pertumbuhan dan penambahan aktiviti ekonomi di mana kita harap dapat memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
“Tahun lepas kita mencatat lebih kurang 10.6 peratus, lebih tinggi daripada pertumbuhan ekonomi negara. Diharap dengan aktiviti kilang baharu ini akan mengekalkan prestasi dan juga momentum kita dari segi pertumbuhan ekonomi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kilang Fract 750 di Pelabuhan Kuantan hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kumpulan Bahagian Logistik dan Sokongan FGV, En. Fakhrunniam Othman; Ketua Pegawai Eksekutif, Kuantan Port Consortium Sdn. Bhd., YBrs. Encik Vino Kumar Selvabalakrishnan; Ahli Lembaga Pengarah FGV Holdings Berhad, YBrs. Tuan Haji Mohamad Fadzil Hitam; dan Ketua Pegawai Eksekutif, FGV Refineries Sdn Bhd, YBrs. Encik Mohd Djunadi Samsuddin.
Beliau berkata, kilang ini merupakan kilang pertama di Pantai Timur yang menggunakan teknologi Desmet iConFract System yang membolehkan FGV menghasilkan produk-produk premium industri hiliran (downstream) baharu berasaskan minyak sawit.
“Kilang penapisan baharu ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada FGV dengan meneroka pasaran baharu dalam produk lelemak dan minyak; malahan saya melihat kilang baharu ini sebagai usaha untuk menyumbang kepada pembangunan industri khusus di Kuantan dan negeri Pahang,” katanya.
Tambah beliau, pembangunan infrastruktur dan operasi FGV di negeri ini juga akan membawa manfaat dan kemakmuran kepada penduduk di Pahang.
“Kilang yang sofistikated dan berteknologi moden seperti ini tentunya akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan pembangunan skil kepada belia tempatan Pahang.
“Apatah lagi dengan pembangunan East Coast Economic Region (atau lebih dikenali sebagai ECER), negeri Pahang dijangka untuk menjalani pertumbuhan ekonomi pesat dengan pelaburan luar berjumlah RM31 bilion termasuk ekonomi negeri dan ekonomi setempat.
“Sebagai sebuah negeri yang mempunyai infrastruktur dan fasiliti yang pesat dalam sektor pembuatan, pelancongan, petroleum, gas asli dan petrokimia, Pahang merupakan komponen utama dalam pembangunan dan kejayaan ECER. Pertumbuhan ekonomi yang dibawa oleh ECER akan menjana sejumlah 52,550 peluang pekerjaan serta mewujudkan 23,090 peluang keusahawanan kepada rakyat negeri Pahang,” katanya.
Untuk rekod, bahagian hiliran FGV di Kuantan mempunyai kapasiti untuk menapis dan memproses sejumlah 8,732 metrik tan
minyak sawit setiap hari yang bersamaan dengan 3.14 juta metrik tan setahun dan pelancaran Kilang FRACT 750 dijangka dapat meningkatkan purata jualan syarikat sebanyak sembilan peratus. -PAHANGMEDIA

