Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
RAUB, 29 JANUARI 2024 : Kerajaan Pahang kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang masih berdegil meneroka tanah secara haram walaupun pernah ditahan sebelum ini sehingga mengakibatkan kejadian tanah runtuh di Batu 59, Blue Valley, Cameron Highlands, Jumaat lalu.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri Pahang telah membuat kawalan serta melakukan pemantauan bagi meminimakan penerokaan tanah secara haram di negeri ini.
“Kita memantau dan sebab itu saya bagi tahu Hutan Simpan tidak boleh diteroka secara haram dan mereka membuat penerokaan secara haram dan itulah kesannya berlaku kejadian tanah runtuh.
“Dan kita amat kesal dengan kejadian tersebut di mana masih ada lagi mereka yang meneroka tanah secara haram walaupun kita kawal, kita pantau, dan kita bawa mereka ini sampai ke peringkat mahkamah untuk kita meminimakan penerokaan tanah haram ini.
“Sedikit sebanyak terjejas jugalah (Kerajaan Negeri Pahang) kerana kita memantau (penerokaan tanah haram) tapi bila dia (peneroka) buat secara haram, ia diluar daripada kawalan kita, kerana tanah kita ni luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Projek Penghutanan Semula Dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Negeri Pahang Darul Makmur di Hutan Simpan Tersang hari ini.
Turut hadir, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal; Pengarah Amat Bayu Sdn. Bhd., YH. Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak; Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, YBhg. Tuan Haji Roslan Rani; dan Pegawai Daerah Raub, YBhg. Encik Khuzaidi Harun.
Menurut beliau lagi, bagi mengelakkan perkara seperti ini berlaku, Kerajaan Negeri Pahang sangat serius dengan mengambil langkah mendakwa peneroka tanah secara haram secara terus di mahkamah.
“Tetapi masih ada lagi mereka yang berbuat demikian. Jadi sebab itulah kita sangat serius, dan kita tidak lagi kompaun malah kita bawa terus ke mahkamah.
“Bukan tujuan untuk mengaibkan, memalukan tapi lebih kepada memberi pengajaran kepada mereka yang membuat kerja-kerja tidak sihat ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

