Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 30 JANUARI 2024 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj selamat berangkat balik ke Pahang pada jam 11.58 pagi di Pangkalan TUDM Kuantan.
Ketibaan baginda berdua disambut oleh anakanda baginda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, YAM Tengku Panglima Raja Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut sama ialah adinda baginda Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mua’adzam Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Turut menyambut keberangkatan balik ialah barisan kepimpinan Kerajaan Pahang diketuai YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut menyambut keberangkatan tiba baginda berdua ialah lebih 10,000 rakyat yang memenuhi Pangkalan Udara TUDM Kuantan.
Seri Paduka berdua kemudiannya diiring ke Pentas Diraja melintasi Pasukan Pengawal Tombak diikuti persembahan Tabik Hormat Diraja daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama disusuli lagu Negaraku dan Allah Selamatkan Sultan Kami oleh Pancaragam TUDM.

Pada upacara sama, bendera peribadi YDPA dipecahkan diikuti tembakan Meriam Kehormatan sebanyak 21 das oleh Rejimen Ke-7 Artileri Diraja Kem Batu 3, Temerloh.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua diterbangkan oleh Kapten Ahmad Najhan Mohd Jamil telah berlepas kira-kira jam 11.16 pagi dari Kuala Lumpur International Airport (KLIA).
Pesawat khas berkenaan telah diiringi dua pesawat pejuang F/A-18D Hornet TUDM yang dikemudi oleh Mejar Saifirudin Bahari dan Mejar Mohammad Afendie Mohammad Idir.
Baginda berdua kemudiannya menuju ke Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, melalui beberapa lokasi bagi memberi peluang rakyat Pahang melambai meraikan keberangkatan balik baginda di bumi Pahang. – PAHANGMEDIA

