Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 23 DISEMBER 2023 : Pahang mensasarkan kedudukan lima teratas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan berlangsung di Sarawak pada tahun hadapan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata ia memandangkan atlet dan jurulatih di negeri ini telah diberikan kenaikan elaun dan gaji.
“Sudah tentu kenaikan elaun untuk atlet dan kenaikan gaji kepada jurulatih ini turut disertai dengan KPI kepada mereka.
“Dan bila kita letak KPI, maknanya kita letak sasaran untuk sukan-sukan tertentu dan saya dah minta Pengarah Majlis Sukan Pahang agar berusaha gigih memastikan Pahang berada dalam kelompok lima terbaik sekurang-kurangnya pada SUKMA tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi wakil rasmi YAB. Menteri Besar Pahang merasmikan Majlis Penyampaian Pahang Pride Atlet kepada 1,000 atlet dengan jumlah keseluruhan RM300,000 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, semalam.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang telah memperkenalkan tiga inisiatif terbaharu kepada atlet dan jurulatih di Pahang bagi meningkatkan kualiti dan kemajuan sukan di negeri ini.
“Yang pertamanya adalah insentif untuk kebajikan atlet. Kita tengok elaun latihan bulanan mereka RM100 itu tidak memadai terutama dengan peningkatan kos sara hidup pada hari ini dan kita naikkan kepada RM250 bermula Januari tahun hadapan. Kiranya semua atlet Pahang yang layak ke SUKMA tahun hadapan akan menikmati insentif ini.
“Dan bagi penerima pingat SUKMA sebelum ini, pingat emas sebelum ini kita beri RM350 tapi selepas ini kita naikkan kepada RM500.
“Bagi kebajikan jurulatih, gaji RM1,500 sebulan yang diterima sekarang sangat sedikit dan kita akan naikkan kepada sekurang-kurangnya RM2,000 dan ia sebenarnya kurang RM100 daripada gaji yang diterima jurulatih di Majlis Sukan Negara,” katanya.
Mengulas mengenai Tabung Amanah Sukan Pahang, beliau melahirkan keyakinan tabung berkenaan dapat mengumpul RM1 juta seperti yang disasarkan menjelang Mac ini.
“Sejak pelancaran tabung ini pada September lalu, kutipan tabung ini telah cecah lebih RM600,000 dan kita sasarkan dalam enam bulan sekurang-kurangnya kita dapat kumpul RM1 juta,” katanya. -PAHANGMEDIA

