Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Radin Mohd Nurhilmi Nordin
RAUB, 23 DISEMBER 2023 : Kerajaan Pahang menawarkan penganjuran Kejohanan Bola Baling Bawah 17 Tahun Kebangsaan pada 2024.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, selepas kejayaan penganjuran Kejohanan Bola Baling Bawah 16 Tahun Kebangsaan di Raub.
Jelasnya, pihak Persatuan Bola Baling Kebangsaan telah memberikan maklum balas yang baik dan akan meneliti serta mempertimbangkan tawaran daripada Kerajaan Pahang itu.

“Pahang sekali lagi menawarkan diri untuk penganjuran kejohanan bola baling bawah 17 tahun peringkat kebangsaan pada tahun hadapan dan penawaran untuk menjadi tuan rumah ini adalah susulan daripada kejohanan hari ini yang sangat berjaya, jadi saya ucapkan syabas dan tahniah kepada pihak penganjur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Bola Baling Bawah 16 Tahun Kebangsaan yang diadakan di gelanggang terbuka Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ching di Raub, petang tadi.
Sebanyak lapan pasukan bagi kategori lelaki dan wanita telah menyertai kejohanan pada kali ini dengan Pahang menjuarai kategori lelaki selepas menewaskan pasukan dari Sabah.

Manakala pasukan dari Terengganu pula menjuarai kategori wanita.
Kejohanan yang telah berlangsung selama enam hari itu disertai negeri Pahang, Sabah, Terengganu, Johor, Kelantan, Perak dan Selangor.
YB. Fadzli berkata, penganjuran kejohanan bola baling seumpama ini bukan sahaja dapat mencungkil bakat para pelajar tetapi dapat menyatukan pelbagai kaum yang saling menyokong pasukan dari negeri masing-masing.
Dalam perkembangan lain, beliau turut meminta agar Persatuan Bola Baling Kebangsaan dapat berusaha memastikan sukan bola baling tersenarai sebagai acara sukan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) pada akan datang.
“Sukan yang membangkitkan semangat seperti ini, yang memupuk kesatuan hebat di kalangan pemain perlu dipertandingkan dalam SUKMA di Sarawak tahun hadapan,” katanya. – PAHANGMEDIA

