Oleh: Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 16 DISEMBER 2023 : Program Berkhatan Anak Pahang 2023 melibatkan kira-kira 3,500 orang kanak-kanak di seluruh negeri ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
Seorang bapa dari Kampung Keledek, Encik Mohamad Irwan Mohamad, 35, berkata, program ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban perbelanjaan sekeluarga.
“Saya bekerja sebagai pemandu lori dan menanggung keperluan isteri serta tiga anak yang masih kecil.
“Terima kasih MB Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang kerana sering memikirkan cara untuk membantu rakyat terutamanya golongan yang memerlukan,” katanya.
Bagi seorang ibu, Puan Juliza Mukhtar, 35, dari Kampung Tanjung Jambu, inisiatif Kerajaan Negeri ini amat dihargai dan diterima penuh rasa syukur.
“Hari ini saya dapat bawa dua anak, Tuan Mohamad Azit Iqbal Tuan Kechik, 9, dan Tuan Mohamad Amir Ruzaimi, 11, untuk berkhatan secara percuma melalui program ini.
“Terima kasih banyak-banyak Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang kerana membantu ringankan beban kami. Memang amat kami hargai dan berterima kasih di atas inisiatif ini,” katanya.
Bagi penduduk Kampung Keledek, Encik Sani Jama, 45, inisiatif Kerajaan Negeri Pahang melalui Program Berkhatan ini adalah sesuatu yang sangat baik.
“Saya mempunyai enam orang anak dan menyara keluarga dengan bekerja di kilang sawit. Hari ini saya bawa dua anak Muhammad Airil Danish, 10, dan Muhammad Azieq Dayan, 8, untuk dikhatan.
“Seperti kita semua tahu, kos untuk berkhatan memang agak mahal apatah lagi kalau ramai anak yang perlu dikhatan. Terima kasih banyak-banyak Menteri Besar Pahang kerana tidak berhenti memikirkan usaha untuk meringankan beban kami,” katanya. -PAHANGMEDIA