Oleh: Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 16 DISEMBER 2023 : Sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak yang turut mahu membantu saudara Islam di bumi Palestin menyaksikan kutipan untuk Tabung Kemanusiaan Pahang4Palestine yang dilancarkan telah melebihi sasaran yang ditetapkan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehingga ke hari ini jumlah sumbangan yang telah dikumpulkan sudah pun berjumlah RM1.9 juta sekaligus mengatasi sasaran iaitu RM1 juta.
“Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT, tabung ini telah kita lancarkan pada 28 Oktober lalu sempena
Himpunan Pahang For Palestine di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan. Tidak sampai tempoh dua bulan, kutipan yang kita terima ini benar-
benar cukup luar biasa sekali.
“Terima kasih kepada seluruh rakyat Pahang yang terus prihatin terhadap nasib rakyat Palestin yang memerlukan sokongan dan bantuan kita semua, yang kini sedang menderita akibat dizalimi oleh rejim haram
Israel,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Program Berkhatan Anak Pahang peringkat Negeri Pahang di Dataran Masjid Sungai Koyan, di sini.
Pada majlis berkenaan beliau mewakili Kerajaan Negeri turut menerima replika cek sumbangan bernilai RM843,897 hasil sumbangan ahli kariah daripada 696 buah masjid dan 1540 buah surau kepada Tabung Kemanusiaan Pahang4Palestine.
Hadir sama Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim, Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB Dato’ Ramli Mohd Noor dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Dalam pada itu beliau berkata, pihak Kerajaan Negeri masih membuka ruang untuk orang ramai menyumbang di laman web pahang4palestine.com dan akan menyalurkan bantuan berkenaan tidak lama lagi.
“Apabila sumbangan cecah nilai RM2 juta, Kerajaan Negeri Pahang akan berhubung dengan pihak yang tepat iaitu Kementerian Luar Negeri untuk kita salurkan kutipan yang kita terima ini.
“Kemungkinan kita akan salurkan dalam bentuk barangan selain daripada tunai. Kita salur ikut cara betul dan tak melalui mana-mana NGO kerana kita tak mahu berlakunya sebarang kemungkinan ia (sumbangan) diseleweng seperti kes yang berlaku baru-baru ini,” katanya. -PAHANGMEDIA