Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 14 DISEMBER 2023 : Kontraktor-kontraktor kelas F di Negeri Pahang seharusnya lebih dinamik dan inovatif dalam menghadapi perubahan semasa yang semakin mencabar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Sri Mohd. Johari Hussain berkata, kontraktor perlu sentiasa bersedia untuk berubah dan berkembang seiring perubahan era yang semakin mencabar.
“Hari ini dan hari akan datang cabarannya berbeza sebab itu saya sangat berterima kasih walaupun saya bukan exco berkenaan tetapi perkara ini (perbincangan kontraktor) memang elok dilaksanakan dan saya menghayati perkara ini.
“Saya bercakap kepada seorang pemilik Resort di Tioman bahawa cabaran semakin hari semakin mencabar dan kita tidak boleh selesa dengan apa yang kita ada maksudnya tidak kira siapa sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Hari Bersama Kontraktor G1 Pahang Cabaran dan Halatuju Kontraktor G1 Dalam Menghadapi Era Masa Kini yang diadakan di Dewan Menteri Besar Pahang, Jalan Teluk Sisek, semalam.
Beliau mewakili Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kesihatan Dan Kerajaan Tempatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.
Hadir sama ialah Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Kelas F (PKKF) Negeri Pahang, YBrs Tuan Haji Ahmad Faiz Zulkifly.
Jelasnya, dalam giat berkembang dan membangun, para kontraktor perlu mengadaptasi kemasukan ramai pelabur yang menyokong kepada kemajuan ekonomi di Negeri Pahang.
Beliau berkata, segala usaha dan fokus perlu seiring dengan pembangunan dan kontraktor perlu peka terhadap teknologi terkini.
Hari Bersama Kontraktor G1 Pahang telah dianjurkan oleh Persatuan Kontraktor Kelas F Negeri Pahang bagi menyatukan semua kontraktor terbabit untuk membincang cabaran dan halatuju peserta. – PAHANGMEDIA