Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 21 JULAI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus komited dalam memastikan kebajikan masyarakat Orang Asli sentiasa diberi perhatian, termasuk usaha mempercepatkan penyelesaian isu pemilikan dan pewartaan tanah kampung Orang Asli.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pertemuan bersama kira-kira 100 wakil masyarakat Orang Asli hari ini membuktikan Kerajaan Negeri sentiasa membuka ruang kepada rakyat untuk menyuarakan pandangan mereka secara berhemah.
Menurut beliau, tujuh wakil daripada beberapa kawasan termasuk Maran, Paya Besar, Bera, Muadzam Shah, Rompin dan Kuala Krau telah menyampaikan hasrat serta keperluan masyarakat masing-masing, dengan isu utama yang dibangkitkan adalah berkaitan tanah.

“Ternyata, terdapat kira-kira tujuh wakil tadi yang bangkit menyampaikan suara mereka daripada Maran, Paya Besar, Bera, Muadzam Shah, Rompin dan juga Kuala Krau. Mereka telah menyampaikan hasrat orang ramai tentang keperluan mereka, dan isu yang dibangkitkan berlegar sekitar isu tanah.
“Mereka inginkan kepastian status tanah mereka. Sebagaimana yang telah kita nyatakan dalam laporan media semalam, melalui kertas yang telah kita bentangkan, agenda memastikan tanah-tanah ini diagihkan kepada rakyat negeri Pahang merupakan antara keutamaan Kerajaan Negeri.
“Ia bukan sahaja melibatkan masyarakat Orang Asli, malah orang Melayu dan bukan Melayu, namun keutamaan turut diberikan kepada masyarakat Orang Asli,” katanya.

Beliau berkata, agenda memastikan tanah diagihkan kepada rakyat negeri, termasuk masyarakat Orang Asli, merupakan antara fokus utama Kerajaan Negeri Pahang.
Tambah beliau, sehingga kini sebanyak 30 kampung telah selesai diwartakan, 16 kampung telah diluluskan pemberian hak milik tanah, manakala 31 permohonan lengkap sedang dalam tindakan untuk dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri bagi pertimbangan dan kelulusan mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara.
Beliau turut berharap proses tersebut dapat disegerakan supaya Menteri Besar Pahang dapat menyerahkan notis rizab kepada kampung-kampung yang terlibat dalam masa terdekat.

Beliau juga mengingatkan pengusaha yang menjalankan aktiviti di kawasan yang telah diberikan kelulusan tanah supaya mematuhi undang-undang, serta mengambil kira aspek kemanusiaan dan kepentingan masyarakat setempat bagi mengelakkan sebarang konflik.
“Saya dapati dalam pertemuan tadi, mereka memberikan sokongan yang positif dan dapat meluahkan hasrat masing-masing secara terperinci.
“Saya ingin mengambil kesempatan mengingatkan kepada pengusaha-pengusaha yang telah diberikan kebenaran untuk memasuki kawasan tanah tersebut supaya berurusan mengikut peraturan, bukan sahaja dari sudut undang-undang.

“Kita juga perlu mengambil kira aspek kemanusiaan serta kepentingan masyarakat setempat yang tidak wajar diabaikan. Saya yakin perkara ini telah diberi perhatian, namun saya ingin mengingatkan agar ia terus dipatuhi.
“Jangan sampai kehadiran kita di sesuatu kawasan menimbulkan polemik antara satu sama lain. Nasihat saya juga kepada masyarakat Orang Asli agar kita bersama-sama berusaha merungkaikan permasalahan ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyeru masyarakat Orang Asli agar terus mengutamakan rundingan dalam menyelesaikan sebarang isu, sambil menegaskan Kerajaan Negeri sentiasa bersedia mendengar dan mencari jalan penyelesaian terbaik demi kesejahteraan semua pihak. -PAHANGMEDIA

