Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
BERA, 22 JULAI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan nilai jualan sebanyak RM1.3 juta menerusi penganjuran Program MAHA Pahang 2026 yang akan berlangsung di Dataran Raub, Raub, bermula esok.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program bertemakan Agro Lestari Bina Negeri itu dijangka menarik lebih 100,000 pengunjung dari seluruh negara sepanjang penganjurannya selama empat hari bermula 23 hingga 26 Julai ini.

“Sambutan terhadap penganjuran MAHA Pahang tahun ini juga dijangka amat menggalakkan dan kali ini dijangka kehadiran melebihi 100,000 orang, dengan melibatkan 100 usahawan serta nilai jualan RM1.3 juta.
“Kita juga mengadakan cabutan bertuah iaitu seekor lembu Wagyu dan juga kereta Perodua Bezza serta lain-lain hadiah yang menarik,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir pada Majlis Pelepasan Konvoi MAHA Pahang 2026 bertempat di Pejabat Daerah dan Tanah Bera, di sini hari ini.
Majlis pelepasan berkenaan turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan; Pengarah Pertanian Negeri Pahang, Encik Muhd Rizal Baharom; serta barisan ketua-ketua jabatan.

Sebanyak 25 buah kenderaan menyertai konvoi berkenaan yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Jabatan Pertanian Negeri Pahang, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang, Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) serta Majlis Daerah Raub.
Mengulas lanjut mengenai penganjuran program itu, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, MAHA Pahang 2026 merupakan penganjuran kali kedua selepas dijenamakan semula daripada Mini MAHA Pahang susulan sambutan amat menggalakkan yang diterima pada penganjuran tahun lalu.

“Saya ucapkan tahniah kepada Pengarah Pertanian, Encik Muhd Rizal dan sudah tentulah Exco yang bertanggungjawab juga memainkan peranan yang sangat penting, Exco Kanan, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi. Bukan senang untuk menguruskan MAHA Pahang ini kerana kita melibatkan pelbagai produk makanan dan pertanian,” ujarnya.
Beliau justeru itu mengajak orang ramai, khususnya rakyat negeri ini, supaya hadir beramai-ramai ke Dataran Raub bagi memeriahkan program berkenaan.
“Saya menjemput orang ramai khususnya rakyat Negeri Pahang supaya datang beramai-ramai ke Dataran Raub untuk menyaksikan MAHA Pahang. Di samping itu, mereka boleh mendapatkan maklumat atau bertanya apa-apa berkaitan tanaman seperti Musang King, durian baharu Raja Benta, atau mungkin selepas ini ada pula Raja Bera.
“Selain melihat pameran MAHA, kita juga boleh mempelajari atau menerokai peluang-peluang baharu yang boleh dimanfaatkan untuk Negeri Pahang. MAHA Pahang ini juga selari dengan aspirasi Pahang 1st, iaitu untuk melonjakkan ekonomi Negeri Pahang dan ini merupakan salah satu daripada tujuh tonggak Aspirasi Pahang 1st,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

