Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Syafiqah Jamaluddin
TEMERLOH, 20 JULAI 2026 : Kerajaan Negeri komited meneliti bentuk bantuan yang bersesuaian bagi membantu pengusaha Cendol Meleleh, Nik Haznita Saffiya bersama adiknya, Nik Haziera Saffiya, termasuk memberi perhatian terhadap aspek keselamatan lokasi perniagaan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan berkata, tinjauan mendapati lokasi perniagaan sedia ada kurang sesuai kerana terletak berhampiran jalan raya serta di bawah teduhan pokok besar yang berisiko.
Menurut beliau, perniagaan yang diusahakan itu bagaimanapun menunjukkan perkembangan sangat positif dengan sambutan pelanggan yang menggalakkan.
“Ketika kami singgah di gerai Cendol Meleleh ini, jelas perniagaan mereka berkembang dengan baik. Saya dimaklumkan jualan mencecah sekitar 700 cawan pada hari biasa, manakala hujung minggu boleh meningkat sehingga 1,000 cawan.
“Namun, melihat kepada keadaan lokasi, saya berpandangan ia kurang sesuai memandangkan aliran trafik di kawasan ini agak laju. Kita berharap pihak jabatan berkaitan dapat mengambil perhatian terhadap perkara ini demi keselamatan semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ramah Mesra bersama Adik Cendol Meleleh di Kiosk Cendol Meleleh Lebak, di sini hari ini.
Mengulas mengenai bantuan yang akan disalurkan, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri sedang menilai keperluan sebenar bagi memastikan bantuan yang diberikan benar-benar memberi impak kepada penerima.
“Cadangan awal untuk menyediakan kaki palsu tidak diteruskan selepas dimaklumkan bahawa penerima telah memilikinya, namun penggunaannya kurang selesa.
“Insya-Allah, bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan disalurkan, dan kita akan melihat semula keperluan paling sesuai untuk mereka,” katanya.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, Encik Khairul Amri Ahmad serta wakil daripada Yayasan Petronas. – PAHANGMEDIA

