Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
RAUB, 12 DISEMBER 2023 : Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan denda sebanyak RM60,000 kepada seorang lelaki selepas mengaku bersalah melombong emas secara haram di Kampung Tanjung Gahai, Lipis, pada Mac lepas.
Tertuduh, Mahfuz Mahmud, 45, turut berdepan hukuman sepuluh bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda seperti mana yang diperintahkan Hakim, Noor Aisah Mohamed.
Noor Aisah turut mengarahkan sebuah jengkaut, sebuah palong, dan pam air yang disita Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada hari kejadian dilucut hak kepada kerajaan negeri.
Mahfuz didakwa melakukan perlombongan tanpa lesen atau pajakan yang sah di kawasan tersebut pada 3.14 petang, 7 Mac lepas, yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 158 Enakmen Mineral 2001 Negeri Pahang.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didapati melakukan perlombongan emas secara haram hasil rondaan dan pemantauan yang dibuat oleh pihak UPNP di lot 634 di kampung berkenaan yang menemukan sebuah jengkaut, satu buah palong dan satu pam air yang digunakan bagi aktiviti melombong emas.
Ketika pemantauan dilakukan, tertuduh turut berada di tempat kejadian dan hasil soal siasat mendapati tertuduh telah melakukan aktiviti melombong emas di lot berkenaan selama 6 bulan tanpa sebarang pajakan dan kebenaran yang sah daripada Pihak Berkuasa Negeri.
Pemeriksaan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang mendapati tiada kelulusan dikeluarkan bagi aktiviti perlombongan emas di lot berkenaan.
Pada prosiding tersebut, Mahfuz yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah menjatuhkan hukuman paling ringan atas alasan dia kini tiada pendapatan dan sedang menjalani hukuman penjara di atas kesalahan lain selain mempunyai anak-anak yang masih bersekolah.
Bagaimanapun Pegawai Pendakwa UPNP, Muhamad Najmi Zaki memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai untuk tidak melakukan kesalahan sama.
“Kesalahan melombong tanpa lesen dan pajakan yang sah untuk mengaut keuntungan adalah perbuatan serius yang perlu dihentikan dan dijadikan pengajaran. Tindakan itu bukan sahaja merugikan kerajaan khususnya pihak Kerajaan Negeri Pahang tetapi juga boleh merosakkan alam sekitar,” katanya.
Pendakwaan turut dikendalikan Pegawai Pendakwa UPNP, Taqiuddin Azizan. -PAHANGMEDIA

