Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 8 DISEMBER 2023 : Tumpuan peningkatan pengeluaran padi di kawasan jelapang iaitu melalui Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu atau IADA Pekan dan IADA Rompin merupakan langkah kerajaan dalam mengatasi masalah kekurangan beras.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, dengan kelebihan dari segi kemudahan infrastruktur, kawasan jelapang mampu mencapai pengeluaran hasil yang optimum.
“Bagi merealisasikan hasrat ini, ia akan disepadukan pula dengan Program Smart SBB (Sawah Berskala Besar) dan untuk jangka panjang, Kerajaan akan berusaha membangunkan tanah sawah terbiar yang ekonomik untuk dimajukan khususnya dari segi aspek pengairan dan saliran.
“Pembangunan paya atau tanah terbiar untuk tanaman padi memerlukan kos yang tinggi untuk dilaksanakan jadi Jabatan Pertanian diberi tanggungjawab untuk melaksanakan pembangunan di luar jelapang manakala IADA memberi fokus kepada kawasan dalam jelapang.
“Syarikat peneraju akan melaksanakan penanaman secara berskala besar di kawasan-kawasan jelapang bagi meningkatkan hasil dan produktiviti tanaman padi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, YB Tuan Hasan Omar pada sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, pihak IADA Rompin bersama Pejabat Daerah dan Tanah Rompin mempergiat usaha mencari kawasan baru bagi tanaman padi dalam daerah tersebut.
“Antara yang disyorkan adalah Paya Petoh dan RPS Kedaik di mana kajian tanah akan dijalankan terhadap kawasan tersebut dari segi kesesuaian tanah, hak milik dan keadaan semasa tempat yang disyorkan,” katanya. -PAHANGMEDIA

