Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 8 DISEMBER 2023 : Pencapaian cemerlang oleh Pahang sehingga kini membuktikan Kerajaan Perpaduan Negeri Pahang yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu terus kekal stabil, baik dari aspek politik mahupun kaum.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kestabilan ini terbukti menerusi kejayaan Kerajaan Pahang memperoleh kutipan hasil negeri sebanyak RM1.169 bilion sehingga 5 Disember 2023 yang menyaksikan kejayaan mengutip hasil melebihi RM1 bilion bagi tempoh dua tahun berturut-turut.
“Apa yang ingin saya nyatakan di sini, bahawa pencapaian ini membuktikan Kerajaan Perpaduan Negeri Pahang yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu terus kekal stabil. Baik dari aspek kestabilan politik, mahu pun kestabilan kaum yang wujud di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, kerajaan turut berbangga apabila berjaya menarik pelaburan berjumlah RM16.441 bilion meskipun dalam keadaan ekonomi yang perlahan sedang melanda dunia.
Menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2024 yang disifatkan sebagai belanjawan terbesar dalam sejarah pembentangan belanjawan Pahang, jelasnya, kerajaan telah memperuntukkan RM 1.125 bilion bagi perbelanjaan mengurus manakala RM301.29 juta bagi perbelanjaan pembangunan.
“Alhamdulilah, saya amat bersyukur kerana sepanjang lebih lima tahun saya mengetuai pentadbiran Kerajaan Negeri dengan dibantu oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai dan kakitangan awam Kerajaan Negeri, pelbagai perancangan yang dirancang telah berjaya dilaksanakan dengan cemerlang sekali,” katanya. – PAHANGMEDIA

