Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 6 DISEMBER 2023 : Belanjawan Pahang 2024 memperuntukkan kira-kira RM162 juta bagi mempertingkatkan pembangunan Islam di negeri ini menerusi tiga jabatan yang membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan agama Islam di negeri ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, tiga jabatan terlibat ialah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Jabatan Mufti dan Jabatan Kehakiman Syariah Pahang.
“Tetapi sekarang ini kita lihat melalui bajet ini, menda-menda ini pun diatur oleh Kerajaan Negeri sebagai tanda kesungguhan bagaimana hendak melahirkan generasi Rabbani yang akan zahirnya (menjadi) insan-insan yang menjunjung agama Allah swt.
“Ini kita lihat sendiri kalau dulu sekolah agama berkurangan, tapi sekarang ini MasyaaAllah kita tengok sekolah agama semakin berkembang, maahad tahfiz semakin banyak, usaha-usaha murni semakin diperkukuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Penggulungan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Selain itu, beliau berkata, selain penambahbaikan pusat-pusat pengajian Islam seperti Universiti Islam Pahang (UnIPSAS), sekolah-sekolah agama dan Maahad Tahfiz Turath, Kerajaan Negeri juga mengembangkan Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP) bagi memastikan ajaran agama dapat diterapkan di peringkat awal pendidikan kanak-kanak.
Kerajaan Pahang juga berusaha menjaga kebajikan tenaga pengajar di pusat-pusat pendidikan agama sedang giat dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang dan Suruhanjaya Perkhidmata Awam (SPA) Pahang.
YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim menambah, para pelajar UnIPSAS juga mendapat keistimewaan bagi melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar dengan mendapat kuota khas daripada kerajaan UAE.
Beliau turut menyifatkan kerjasama di antara semua pihak tanpa mengira fahaman untuk sama-sama berganding bahu sebaik mungkin di dalam pemerintahan Kerajaan Pahang. – PAHANGMEDIA