Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 6 DISEMBER 2023 : Isu kritikal melibatkan kerosakan jalan di sekitar Negeri Pahang hanya akan dapat diselesaikan dengan lebih sempurna jika jumlah bajet yang dimohon kepada Kerajaan Persekutuan diluluskan sepenuhnya.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, sebanyak 238 kerja menyelenggarakan jalan sedang dan telah dilaksana di seluruh negeri melalui agihan sejumlah RM286.812 juta sahaja iaitu 51.41 peratus daripada jumlah keperluan yang dipohon pada tahun ini iaitu RM559.957 juta.
“Kita berusaha menyelesaikan pelbagai masalah dan antara isu kerosakan jalan kritikal di Bandar Kuantan yang telah dapat diselesaikan ialah kerja-kerja pembaikan concrete pavement di jalan masuk ke Kawasan Perindustrian Semambu yang siap pada 16 Oktober lalu dengan anggaran kos RM1.2 juta selain kerja-kerja pembaikan di Jalan Pintasan Gebeng secara Mill and Pave siap pada 31 Mei lalu dengan anggaran kos RM1.579 juta.
“Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pengangkutan Negeri Pahang juga sentiasa mengambil berat berhubung isu kesesakan di persimpangan-persimpangan utama dalam Bandar Kuantan serta di jalan utama Cameron Highlands yang berlaku disebabkan oleh ketepuan kadar aliran trafik terutama semasa waktu puncak cuti dengan pertambahan bilangan kenderaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menyentuh berkenaan perkembangan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap pada Disember 2026 dan dijangka beroperasi pada tahun 2027, beliau berkata sehingga 30 November lalu 57.23 peratus kerja-kerja telah siap dan menepati jadual pelaksanaan.
“Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM2 juta bagi tahun 2024 untuk menaiktaraf kemudahan latihan Pahang Skills kepada Pusat Kecemerlangan dengan membangunkan kursus baharu iaitu Penyelenggaraan Landasan Keretapi selaras dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Selain itu, bagi mempromosikan pelancongan kereta api di laluan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM 150,000 untuk tahun hadapan bagi mempromosikan pakej pelancongan kereta api yang melibatkan lima stesen KTM iaitu di Kemayan, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis dan Merapoh,” katanya.
Sementara itu menyentuh tentang sektor kesihatan, beliau berkata sehingga Oktober 2023 jumlah perjawatan di seluruh JKN Pahang adalah sebanyak 18,098 dengan pengisian berjumlah 16,725 (92.4 peratus).
“Sebanyak 112 projek pembangunan fizikal yang telah dan sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang sepanjang tahun 2023 berbanding hanya 58 projek pada tahun 2022, termasuk kerja-kerja menaik taraf dan pembaikan fasiliti kesihatan demi meningkatkan kualiti penyampaian kesihatan kepada seluruh rakyat di negeri ini.
“Projek terbaharu yang telah memulakan proses pelaksanaan ialah Blok Baharu Wanita dan Kanak-kanak Hospital Tengku Ampuan Afzan di Tanjung Lumpur yang bernilai RM513 Juta di mana blok baharu berkapasiti 376 katil ini dijangka siap pada Januari tahun 2028,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Projek Pembaikan Klinik Daif dan Fasiliti Daif akan diteruskan pada tahun hadapan dan akan melibatkan 40 buah klinik lagi di seluruh Negeri Pahang dengan nilai sebanyak RM15.5 juta.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menjunjung kasih KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang telah berkenan berangkat ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom Cameron Highlands diiringi oleh Menteri Kesihatan Malaysia Dr. Zaliha Mustafa pada 6 Mac lalu.
“Susulan daripada lawatan itu, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menitahkan agar pihak Hospital Sultanah Hajjah Kalsom Cameron Highlands menaiktaraf perkhidmatan perawatan kesihatan kepada penduduk di Daerah Cameron Highlands dan perkhidmatan ini telah dilaksanakan sehingga kini dan akan terus dinaiktaraf agar perkhidmatan kepakaran kepada rakyat dapat disampaikan dengan baik,” katanya.
Sementara itu menyentuh tentang sektor Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kerajaan Negeri meluluskan sebanyak 10 buah projek dengan peruntukan sebanyak RM 500,000 untuk membina dan membaikpulih fasiliti awam dalam kawasan PBT Negeri Pahang dan 16 projek Pengurusan Kolam Takungan Negeri Pahang dengan jumlah peruntukan sebanyak RM 1.5 juta pada tahun hadapan.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan di atas bantuan peruntukan yang disalurkan kepada Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan.
“Sebanyak 483 buah projek dengan nilai keseluruhan kos RM59.88 juta meliputi projek Bahagian Pembangunan 1, kolam takungan, longkang, cerun dan kiosk telah diterima kerajaan Pahang sehingga 31 Oktober lalu yang diharap dapat memberi manfaat besar untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini,” katanya yang turut menyampaikan ucapan tahniah kepada PBT-PBT yang merangkul anugerah di peringkat lokal dan antarabangsa. -PAHANGMEDIA