Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 6 DISEMBER 2023 : Kerajaan Negeri sentiasa mengambil serius perkembangan dan keperluan pelajar di maahad tahfiz serta sekolah agama termasuk penglibatan anak-anak Orang Asli yang sememangnya turut mempunyai tempat di institusi berkenaan.
Exco Hal Ehwal Agama, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, usaha turut dilakukan Jabatan Agama Islam Pahang dengan pergi ke kampung-kampung Orang Asli bagi mengenalpasti mereka yang berminat untuk mendapat pendidikan Al-Quran dan Fardhu Ain.
“Pada tahun lalu seramai 17 orang pelajar anak-anak Orang Asli tingkatan satu tajaan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memasuki Sekolah Menengah Agama Negeri manakala pada tahun ini seramai 22 orang pelajar memasuki sekolah aliran sama.
“Kita juga telah mengadakan 16 buah kelas Fardhu Ain dan belajar Al-Quran melibatkan 525 orang pelajar di seluruh negeri bersesuaian dengan permintaan mereka sendiri di kampung-kampung yang telah dilawati dan disantuni.
“Apa yang kita bangga mereka telah mula menghafal Al-Quran malah sebagai contoh, seorang pelajar Orang Asli iaitu Nur Dalila Abdul Malik, 16, dari SMA Al-Ulum Addiniah Dong, Raub muncul cemerlang atau Mumtaz Sofi dalam peperiksaan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam, YB Tuan Nazri Ahmad berkenaan status pembelajaran Orang Asli di maahad tahfiz dan sekolah agama di seluruh Pahang pada sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam berkenaan kedudukan Briged Dakwah dan penggerak agama Islam di negeri Pahang.
“Di bawah JAIP, MUIP kita ada guru tahmid, briged dakwah, imam, khatib dan kadi di mana tenaga mereka digembleng di setiap tempat masyarakat yang berminat untuk mendalami ilmu agama,” katanya. – PAHANGMEDIA