Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 6 DISEMBER 2023 : Gerakan koperasi Negeri Pahang berjaya mengumpul pegangan aset berjumlah RM1.653 bilion dengan syer dan yuran berjumlah RM443.6 juta.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim berkata, jumlah itu diperoleh daripada 1,146 koperasi Pahang yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) atau bersamaan 7.5 peratus daripada jumlah keseluruhan 15,315 koperasi seluruh Malaysia dengan keanggotaan seramai 302,884 orang.
“Turut membanggakan kita adalah dari segi perolehan yang dijana oleh gerakan koperasi Negeri Pahang iaitu sebanyak RM970.17 juta yang merupakan penyumbang perolehan kedua terbesar mengikut negeri selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Pahang juga mensasarkan peroleh mencapai angka RM1 bilion menjelang tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Inderapura, YB. Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Sharif pada Sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Bagi menjawab pertanyaan tambahan daripada ADUN Tioman, YB. Dato’ Sri Mohd Johari Hussain berhubung bentuk-bentuk bantuan oleh SKM, beliau berkata, jenis bantuan yang disediakan oleh pihak SKM adalah dalam bentuk geran bantuan pembangunan koperasi kepada koperasi yang menjalankan aktiviti perniagaan.
“Koperasi yang layak mengikut syarat-syarat SKM akan menerima bantuan geran ini maksimum sehingga RM300,000 tertakluk kepada kelulusan pihak SKM.
“Selain daripada itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia juga ada menyediakan geran-geran kecemasan sekiranya berlaku bencana atau pun faktor-faktor luar kawalan sebagai contohnya banjir, ribut dan sebagainya, jadi geran kecemasan ini akan diberikan kepada koperasi yang terlibat dengan bencana tersebut,” katanya.
Tambahnya, SKM turut menyediakan tabung modal pusingan dengan pinjaman sehingga RM200,000 tanpa cagaran manakala pinjaman bercagar boleh diberikan sehingga RM30 juta dan dengan faedah yang berpatutan di antara 1 peratus hingga 6 peratus tertakluk kepada kelulusan pihak SKM. – PAHANGMEDIA