Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 04 DISEMBER 2023 : Sebanyak RM311.83 juta diperuntukan bagi memastikan syiar Islam di Negeri Pahang kekal utuh melalui jabatan serta pelbagai program pada tahun hadapan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri telah memperuntukan RM162.53 juta kepada institusi agama Islam di negeri ini.
“Peruntukkan berkenaan disediakan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Pahang, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Pahang dan Jabatan Mufti Negeri Pahang. Peruntukan ini bertambah sebanyak RM14.3 juta berbanding peruntukan tahun 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pembentangan Belanjawan 2024 Negeri Pahang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, bagi memartabatkan syiar Islam di negeri ini, beberapa projek dan program telah dirancang untuk dilaksanakan pada tahun hadapan.
“Antara projek dan program yang mendokong usaha memartabatkan syiar Islam di negeri ini adalah seperti berikut, pertama, melaksanakan kerja-kerja Pembinaan Kompleks Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan di Indera Mahkota dengan peruntukan sebanyak RM4.5 juta; kedua, melaksanakan pembinaan masjid baharu iaitu Masjid Al-Falah, Sungai Isap 2, Kuantan sebanyak RM3 juta.
“Ketiga, melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan bangunan, surau, masjid dan Makam DiRaja di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Negeri Pahang sebanyak RM3.4 juta; keempat, melaksanakan kerja-kerja pembinaan baharu asrama perempuan empat tingkat SMA Al-Ihsan, Kuantan dan asrama lelaki empat tingkat SMA Chenor, Maran dan kerja- kerja penyelenggaraan di beberapa Sekolah Agama Negeri dengan peruntukan sebanyak RM1.6 juta.
“Kelima, melaksanakan kerja-kerja pembinaan dan menaik taraf Kompleks Mahkamah Syariah Temerloh dan bangunan-bangunan di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang dengan peruntukan RM1 juta; dan keenam, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM1.43 juta untuk bayaran bantuan makanan bermasak asrama di empat buah Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) iaitu SMA Darul Makmur Ganchong di Pekan; SMA Darul Naim Kuala Krau di Temerloh; SMA Al-Asriah Ulu Cheka di Jerantut; dan SMA Al-Taufikiah Al-Asriah Benta di Lipis,” katanya. – PAHANGMEDIA