Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 04 DISEMBER 2023 : Sebanyak RM74.97 juta diperuntukan bagi membina tiga projek perumahan di negeri ini pada tahun hadapan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia melibatkan Rumah Rakyat Pahang (RRP), Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’ RASA), dan Skim Tanah Warisan.
“Kerajaan Negeri pada tahun hadapan akan meneruskan pelaksanaan projek Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang diberikan secara percuma kepada golongan miskin dan miskin tegar yang tidak mempunyai rumah atau rumah terlalu uzur untuk didiami dengan kos pembinaan bernilai RM75,000 seunit ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.
“Sebanyak 470 unit Rumah Rakyat Pahang akan dibina tahun hadapan yang melibatkan lapan unit rumah untuk setiap Dewan Negeri dan satu unit di setiap Parlimen, serta 120 unit rumah lagi untuk masyarakat Orang Asli dengan peruntukan berjumlah RM48 juta.
“Di samping itu, Kerajaan Negeri juga turut menyalurkan RM2,000 kepada setiap penerima Rumah Rakyat Pahang untuk pembelian peralatan isi rumah yang asas dengan jumlah peruntukan keseluruhan berjumlah RM940,000,” katanya.
Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri Pahang juga akan meneruskan program baik pulih rumah daif pada tahun hadapan bagi memastikan golongan miskin dan miskin tegar memiliki kediaman yang selamat dan selesa.
Beliau berkata bagi pembinaan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah atau Ru’RASA juga akan diteruskan pada tahun hadapan melibatkan 274 buah rumah di seluruh Pahang dengan peruntukan sebanyak RM25.03 juta.
“Seterusnya, patik menjunjung kasih ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah atas keprihatinan serta kecaknaan dalam membantu rakyat jelata yang tidak mempunyai kediaman atau kediaman rosak akibat bencana dengan mengurniakan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah atau Ru’RASA dengan kerjasama Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kerajaan Negeri,” katanya.
Tambah beliau lagi, bagi Projek Skim Tanah Warisan (STW) akan diperluaskan ke kawasan Nenasi, Pekan dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.
“Projek Skim Tanah Warisan yang telah dilaksanakan di Kuala Medang, Lipis akan diperluaskan ke Nenasi, Pekan melibatkan penyediaan infrastruktur asas seperti akses jalan masuk, bekalan air dan elektrik serta fasiliti awam lain dengan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi menjayakan projek ini,” katanya.
Projek perumahan untuk rakyat ini digariskan dibawah Tunjang Kelima iaitu Memperteguh Kemakmuran Negeri dan Rakyat. -PAHANGMEDIA