Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 04 DISEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukan RM9.01 juta bagi menyediakan lebih banyak ruang kepada rakyat di negeri ini mencari pekerjaan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Kerajaan Negeri memandang serius tentang masalah pengangguran dengan menyediakan platform dan ruang bagi golongan anak muda untuk mendapatkan pekerjaan.
“Dengan menghimpun syarikat-syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan melalui program Pahang 1st Job. Menerusi program ini, organisasi atau syarikat dapat memberi sokongan, bimbingan dan peluang kepada graduan yang baru tamat belajar untuk memasuki pasaran pekerjaan. Peruntukan disediakan untuk pelaksanaan program ini adalah sebanyak RM1.5 juta.
“Kerajaan Negeri juga akan mewujudkan Pangkalan Data Utama Pekerjaan Pahang atau dikenali CariKerja@Pahang. Sistem Pangkalan Data Utama ini merupakan sebuah medium yang mengintegrasikan maklumat berkaitan peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh syarikat untuk mencapai objektif padanan pekerjaan. Peruntukan disediakan untuk pelaksanaan sistem ini adalah sebanyak RM2.5 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pembentangan Belanjawan 2024 Negeri Pahang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited dalam meringankan beban rakyat terutama dengan membuka lebih banyak peluang pekerjaan melalui pelbagai inisiatif.
“Pertama, pelaksanaan analisis keberkesanan terhadap keperluan pekerjaan Negeri Pahang untuk memahami perubahan landskap pekerjaan dan sumber manusia berdasarkan sektor di Pahang dengan peruntukan sebanyak RM100,000.
“Kedua, mengadakan siri Wacana Pekerja Harmoni, Ekonomi Lestari bagi membincangkan isu-isu pekerjaan serta memberi informasi perkembangan ekonomi dan pelaburan di Pahang yang memberi kesan kepada peluang pekerjaan, sekurang-kurangnya dua kali setahun dengan peruntukan sebanyak RM150,000; dan ketiga, melaksanakan Karnival Kerjaya Negeri Pahang dengan peruntukan sebanyak RM260,000,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, Pahang Skills juga telah merancang menaik taraf kemudahan latihan kepada Pusat Kecemerlangan dengan membangunkan kursus Penyelenggaraan Landasan Keretapi sebagai kursus baharu selaras dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta bagi pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf makmal komputer sedia ada dan menambah baik sistem penyampaian maklumat secara digital kepada para pelatih. Peruntukan ini juga meliputi kerja- kerja penyelenggaraan bangunan dan kampus Pahang Skills.
“Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM2.5 juta bagi pembinaan Kompleks Pentadbiran Baharu dan Asrama Pintar Pahang Skills. Pembinaan kompleks ini adalah untuk menampung ruang kerja yang ketika ini tidak mencukupi dan untuk menyediakan kemudahan penginapan kepada pelajar serta peserta kursus, sekaligus memberi ruang kepada Pahang Skills melahirkan lebih ramai tenaga mahir,” katanya.
Kesemua ini digariskan di bawah Tunjang Keempat Belanjawan Pahang 2024 yang memfokuskan kepada menjamin keunggulan generasi akan datang di negeri Pahang. – PAHANGMEDIA

