Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim & Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 4 DISEMBER 2023 :Kerajaan Negeri Pahang komited untuk menjadi antara hab utama pembangunan industri mineral di negara ini dan ia direalisasikan melalui peruntukan sebanyak RM2.21 juta bagi penubuhan Akademi Mineral Malaysia Pahang di Lipis.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, akademi berkenaan berperanan sebagai pusat pembelajaran dengan menawarkan program pendidikan dan latihan serta perkhidmatan teknikal berasaskan industri mineral.
“Akademi Mineral Malaysia Pahang merupakan salah satu komponen di bawah Cadangan Pembangunan Taman Teknologi Bersepadu Lipis (TTBL) dan akan menyumbang kepada penyelidikan dalam industri mineral bagi menghasilkan teknologi dan proses yang lebih cekap, inovatif dan mesra alam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi ucapan Belanjawan Tahun 2024 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, menyentuh berkenaan peruntukan pembangunan usahawan dan usaha merancakkan pelancongan negeri, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata Kerajaan Negeri akan meneruskan beberapa pendekatan untuk meningkatkan usaha memajukan kedua-dua bidang berkenaan.
“Beberapa inisiatif telah pun dirancang dan diteruskan pelaksanaannya pada tahun 2024 melibatkan peruntukan sebanyak RM7.55 juta bagi sektor pembangunan usahawan dan RM66.53 juta bagi sektor pelancongan.
“Kerajaan Negeri akan meneruskan beberapa pendekatan untuk meningkatkan bidang keusahawanan dalam usaha meningkatkan pendapatan rakyat dan menjadikan bidang keusahawanan sebagai salah satu penyumbang kepada ekonomi negeri Pahang,” katanya.
Selain itu katanya, Kerajaan Negeri akan memberikan tumpuan kepada usaha merancakkan sektor pelancongan dengan kerjasama pihak-pihak berkepentingan bagi membantu pembangunan infrastruktur dan aktiviti promosi pelancongan yang seterusnya akan meningkatkan kehadiran pelancong ke negeri Pahang terutamanya dalam persediaan sempena program Melawat Malaysia (Visit Malaysia) tahun 2026.
Sementara itu beliau berkata Kerajaan Negeri turut berusaha merealisasikan hasrat menjadikan Pahang sebagai hab pelaburan pilihan dengan melaksanakan promosi pelaburan secara proaktif.
“Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan RM453.5 juta bagi kerja-kerja berkaitan antaranya Invest Pahang Business International Summit bagi mengadakan edaran bahan promosi pelaburan ke Pejabat Kedutaan Luar Negara dan pelbagai agensi lagi.
“Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) turut memainkan peranan yang penting dalam memajukan sektor perindustrian terutamanya sektor perkilangan di negeri ini di mana PKNP berperanan mewujudkan iklim pelaburan yang menarik bagi pelabur yang berpotensi serta menggalakkan pelaburan asing,” katanya.
Menurutnya, antara projek pelaburan berpotensi untuk dilaksanakan oleh PKNP pada tahun 2024 adalah Cadangan Usahasama Projek Tenaga Boleh Diperbaharui di Taman Ilmu Pekan seluas 139 ekar, cadangan membangunkan Kawasan Komersial dan Kawasan Perindustrian Kecil di Kawasan Perindustrian Gebeng seluas 19.6 ekar dan cadangan membangunkan Green Ship Recycling Centre di Kawasan Perindustrian Tanjung Agas seluas 10 ekar. -PAHANGMEDIA

