Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 04 DISEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukan sebanyak RM45.08 juta bagi memartabatkan pendidikan di negeri ini melalui insentif dan bantuan pada Belanjawan Pahang 2024.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini kerana generasi yang berada di bangku persekolahan dan institusi pengajian tinggi (IPT) merupakan golongan yang amat penting dalam menentukan kepimpinan dan hala tuju negara dan negeri pada masa hadapan.
“Justeru itu, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang akan menyediakan insentif dan bantuan yang diharap membantu pembentukan generasi cemerlang sebagaimana berikut, pertama, mengukuhkan pendidikan tahfiz dengan pembangunan dua Maahad Tahfiz iaitu Maahad Tahfiz Turath di Lipis dan Maahad Tahfiz Mahir (TVET) di Penor dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.
“Kedua, program Peningkatan Pendidikan Murid Asli (PEDULI) yang bertujuan membimbing murid dalam kalangan masyarakat Orang Asli untuk meneruskan pengajian selepas tamat sekolah menengah dengan sasaran 50 peratus daripadanya; ketiga, mengurangkan kadar keciciran murid Orang Asli ke sekolah dengan menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM500,000 kepada Sekolah K11 (SK Betau).

“Keempat, melaksanakan Program Baca Cepat Kawanku (BCK) bagi semua murid Tahun 1 di 12 buah sekolah rintis Orang Asli dan kawasan pedalaman; dan kelima, melaksanakan Program Kecemerlangan Pendidikan Negeri Pahang bagi mensasarkan Pahang sebagai negeri yang berada di kedudukan lima teratas dalam pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui peruntukan sebanyak RM2 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pembentangan Belanjawan 2024 Negeri Pahang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang juga turut menekankan pemerkasaan potensi dan bakat murid yang beridentitikan anak Pahang yang hebat.
“Oleh itu, RM1 juta diperuntukkan untuk melaksanakan program Pahang Lead bagi melahirkan ciri-ciri pemimpin pelajar yang mempunyai sifat kepimpinan serta menjadi modal insan disegani dan dihormati mengikut acuan negeri Pahang secara holistik,” katanya.
Selain itu, Kerajaan Negeri Pahang turut memperuntukan RM9.72 juta bagi membudayakan amalan membaca dalam kalangan rakyat di negeri ini.
“Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang secara proaktif berusaha mempelbagaikan aktiviti literasi dan program-program berkualiti dalam mendidik masyarakat berbudaya membaca dan cintakan ilmu. Oleh itu, pada tahun 2024, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM9.22 juta untuk terus memperkasa perkhidmatannya kepada seluruh rakyat Pahang.
“Di samping itu, penganjuran Pesta Buku Pahang 2023 telah mendapat sambutan yang cukup hebat. Oleh itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM500,000 untuk pelaksanaan Pesta Buku Pahang 2024,” katanya. -PAHANGMEDIA

