Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 4 DISEMBER 2023 : Sejumlah RM4 bilion telah diperuntukkan bagi menjalankan projek-projek berimpak tinggi yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sejak penubuhannya.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek-projek berimpak tinggi ini meliputi kluster pelancongan, pembuatan, pembangunan infrastruktur, perniagaan tani dan sosioekonomi.
“Bagi projek yang telah disiapkan, kluster pelancongan membabitkan peruntukan keseluruhan RM261.9 juta, pembuatan RM559.9 juta, pembangunan infrastruktur RM2,419.7 juta, perniagaan tani RM139.7 juta dan sosioekonomi RM408.8 juta dengan jumlah keseluruhan RM3,790 juta.
“Manakala beberapa projek yang masih dalam pelaksanaan membabitkan kluster pelancongan dengan peruntukan Rm16 juta, pembuatan RM80 juta dan pembangunan infrastruktur RM114.1 juta dengan jumlah keseluruhan RM210.1 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Long pada Sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Jelasnya, sebanyak 1,250 peluang pekerjaan dan 1,850 peluang keusahawanan telah diwujudkan melalui program-program pembangunan modal insan Empower ECER Latihan Kemahiran dan Pembangunan Usahawan serta Entrepreneur ECER yang dilaksanakan di Daerah Lipis yang sekaligus dapat meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat tempatan.
“Program Empower ECER Latihan Kemahiran dan Pembangunan Usahawan adalah bertujuan mewujudkan usahawan baharu dan melahirkan tenaga kerja melalui bimbingan bagi menjana dan meningkatkan pendapatan.
“Manakala Program Empower Entrepreneur ECER (Upscalling) bertujuan membangunkan usahawan Industri Kecil dan Sederahana (IKS) sedia ada ke tahap yang lebih tinggi melalui dua kaedah iaitu Dana Pinjaman Mudah dan Pembangunan Kualiti Produk bagi Jaminan Pasaran,” katanya.
Menurutnya, Program Entrepreneur ECER menyediakan program bimbingan terhadap pembangunan kualiti produk dan perniagaan usahawan mikro dan SME dari segi persijilan HALAL dan MeSTI, pengurusan kualiti, pengurusan produktiviti, pembangunan pemasaran (dalam dan luar negara) dan pembungkusan produk.
Manakala program pembiayaan mudah melalui Bank pula menyediakan pembiayaan kepada usahawan mikro dan SME di mana separuh daripadsa kadar keuntungan (interest) yang dikenakan oleh Bank dibiayai ECERDC. – PAHANGMEDIA