Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 4 DISEMBER 2023 : Kerajaan Pahang memperketat proses pajakan, gadaian, pindah milik dan pelupusan Tanah Rizab Melayu bagi menjaga kepentingan serta pegangan tanah rizab terus terpelihara.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semua permohonan melalui Jadual Kedua (bagi tujuan pajakan) dan Jadual Ketiga Enakmen Rizab Melayu (bagi tujuan pemilikan) Tanah Rizab Melayu perlu diangkat dengan pertimbangan dan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.
“Buat masa ini jumlah keluasan Tanah Rizab Melayu yang telah diwartakan berkeluasan 397,619.05 hektar di seluruh Pahang.
“Bagi memastikan keluasan kawasan tersebut dikekalkan, sebarang pembatalan ke atas rizab Melayu perlulah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri dan penggantian kawasan baru akan dilaksanakan serentak,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Seminar Memperkasa Ekonomi Bumiputera Pahang 2023 yang diadakan di Dewan Utama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), semalam.
Beliau berkata, kerajaan turut mewartakan semua Projek Skim Tanah Rakyat sebagai kawasan Rizab Melayu bertujuan menambah keluasan Tanah Rizab Melayu.
Jelasnya, dalam usaha meningkatkan pendapatan dan ekonomi rakyat bumiputera, kerajaan turut melaksanakan Skim Tanah Rakyat (STR) berasaskan projek pertanian bagi memberi peluang kepada rakyat yang masih belum memiliki tanah untuk aset sekaligus dapat dibangunkan secara ekonomik oleh pemaju yang dilantik seperti FELCRA, RISDA atau pemaju swasta.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kerajaan Pahang prihatin dan cakna terhadap beberapa projek ‘sakit’ di negeri ini dan berusaha mengkaji punca permasalahan berlaku.
Katanya, 70 peratus daripada projek ‘sakit’ adalah berpunca daripada kontraktor yang dilantik yang menyebabkan projek lambat disiapkan mengikut jadual yang dapat memberi kesan kepada rakyat. – PAHANGMEDIA