Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 04 NOVEMBER 2023 : Mahasiswa diminta mengambil berat mengenai isu semasa yang berlaku di negeri ini bagi mengelakkan mereka ketinggalan maklumat penting.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, ini kerana beliau mendapat aduan ada mahasiswa yang terlepas Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Siswa kali ini.
“Kena sentiasa ambil peduli, apa yang berlaku dalam negeri ini supaya pengumuman-pengumuman sebegini (BPP Siswa) mereka tidak tertinggal.

“Ini kerana mereka mahasiswa, pengetahuan am mesti kehadapan berbanding anak muda lain dan mereka sentiasa perlu ambil berat apa yang berlaku di Negeri Pahang ini.
“Jadi saya minta mereka follow media sosial pemimpin utama Negeri Pahang, portal-portal utama di negeri ini dan mereka sepatutnya ambil tahu berkenaan pengumuman-pengumuman seperti ini untuk elak tertinggal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Siswa 2023 Daerah Raub di Dewan Jubli Perak Majlis Daerah Raub di sini hari ini.

Tambah beliau lagi mentaliti tidak terlibat dengan isu semasa perlu dibuang daripada pemikiran anak muda.
“Jangan ingat mereka tidak terlibat (dengan isu semasa). Contohnya hari ini kena pada diri mereka sendiri. Kalau terlepas pandang, tak register, maka siapa yang rugi? Mereka. Jadi jangan tertinggal daripada arus sedia ada,” katanya.
Menurut beliau lagi, bantuan BPP Kluster Mahasiswa yang bernilai RM300 ini diberikan bagi meringankan beban kewangan para pelajar di negeri ini.
“Kerajaan Negeri Pahang cukup prihatin, ambil berat dan peduli kepada mahasiswa ini dan bantuan ini diberikan kepada semua mahasiswa IPTA di seluruh Pahang tanpa mengira warna kulit, latar belakang, atau perbezaan politik,” katanya.
Seramai 699 mahasiswa di daerah Raub menerima BPP Kluster Siswa 2023 melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam seramai 157 penerima; DUN Tras (370); dan DUN Dong (172). -PAHANGMEDIA

