Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
TEMERLOH, 5 NOVEMBER 2023 : Mahasiswa Orang Asli yang menerima bantuan komputer riba oleh Kerajaan Pahang sangat terharu dan gembira kerana kemudahan tersebut sangat diperlukan bagi melaksanakan tugasan di pusat pengajian.
Siswa Universiti Malaysia Pahang (UMP), Alet Yok Pandir, 19, berkata, dia yang berasal dari Pos Sinderut, Lipis baru sahaja memasuki UMP dan sedang melengkapkan Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) sangat mengakui komputer riba yang diterima sangat membantu dalam memudahkan pelaksanaan tugasannya.

Dia yang sebelum ini hanya menggunakan telefon pintar bagi melakukan sebarang carian dan pelaksanaan tugasan sangat berterima kasih kepada Kerajaan Pahang di atas pemberian komputer riba tersebut kepada semua siswa dan siswi Orang Asli.
“Saya amat berterima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang kerana membantu saya dan rakan saya mendapatkan maklumat (kegunaan komputer riba) buat kerja, untuk menggunakan dalam menyiapkan tugasan,” katanya.
Sementara itu, Siswi Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Arina Nafeesa Mohd Johari, 18, berkata, sejak memasuki pengajian di peringkat Diploma Perniagaan Digital, tuntutan keperluan pengajian yang memerlukan beliau memiliki komputer riba begitu mendesak.

Arina Nafeesa sangat terharu dan berterima kasih kepada Kerajaan Pahang khususnya YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang begitu prihatin dan memberikan perhatian khusus kepada masyarakat Orang Asli termasuklah siswa dan siswi.
“Terima kasih Kerajaan Pahang kerana beri saya komputer riba untuk kemudahan saya belajar,” katanya.
Alet dan Arina Nafeesa bersama 20 siswa siswi lain telah menerima komputer riba masing-masing yang disampaikan sendiri oleh Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bertempat di kediaman Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad di Kampung Bukit Seding Dato’ Shariff, Kuala Krau, Temerloh.
Pada majlis sama, turut disampaikan Insentif Perkahwinan Pertama Orang Asli Tahun 2023 kepada tujuh pasangan yang baru berkahwin pada tahun ini berjumlah RM300 setiap pasangan.

Bagi Azizul Lim, 29, dia yang baru sahaja berkahwin dengan pasangannya, Dina Rahman, 25, telah berkahwin pada Ogos lepas dan sangat gembira menerima insentif khas daripaa Kerajaan Negeri dan berhasrat menggunakan duit bantuan bagi melengkapkan keperluan rumah.
“Terima kasih kepada Kerajaan Pahang bagi bantuan kahwin yang pertama,” katanya.
Kerajaan Pahang sentiasa mengambil cakna terhadap kebajikan dan keperluan masyarakat Orang Asli dengan memperuntukkan RM12.32 juta menerusi pelbagai insentif. – PAHANGMEDIA

