Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
TEMERLOH, 4 NOVEMBER 2023 : Kerajaan Pahang meminta FELDA mengkaji semula cadangan mewujudkan ketua peneroka di semua 115 rancangan di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kajian semula perlu dilakukan sekiranya cadangan tersebut akan mendatangkan keburukan dan pertembungan kepentingan dalam Masyarakat FELDA.
“Sekarang ini dalam penelitian Pengerusi FELDA, kita tengok pro and con, kalau baik kita tubuh, kalau sekiranya menimbulkan masalah kerana terdapat ramai sangat ketua pun mungkin pihak FELDA akan kaji semula.
“Kerajaan Negeri tidak ada halangan asalkan ianya mendatangkan kebaikan dan memberi faedah kepada warga peneroka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyampaian Suratan Hak Milik FELDA Jengka 25 di Dewan Semai Bakti FELDA Jengka 25 di sini hari ini.
Hadir sama ialah Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim, Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Khairur Rizal Ramli dan barisan kepimpinan FELDA.
Ketua Peneroka akan mengetuai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) manakala Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dilantik Kerajaan negeri setelah rancangan berkaitan mendapat suratan hak milik tanah.
Justeru beliau berkata, isu ini dalam penelitian Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek setelah mendapat bantahan dari pemimpin peneroka FELDA di negeri ini.
Kontroversi wujud apabila Felda mengarahkan pemilihan Ketua Peneroka sekali gus akan mewujudkan JKKR sedangkan kebanyakan rancangan Felda di Pahang sudah ada Ketua Kampung ( Pengerusi JPKK) yang dilantik Kerajaan Negeri. – PAHANGMEDIA

