Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 03 NOVEMBER 2023 : Bayi lelaki seberat 3.2 kilogram menjadi bayi pertama dilahirkan di Pusat Bersalin Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman pada 7.32 pagi hari ini.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Indera Dr. Nor Azimi Yunus, kelahiran bayi lelaki berkenaan dan ibunya kini dalam keadaan stabil dan baik.
“Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa Pusat Bersalin Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman yang telah dinaik taraf bermula Februari 2022 telah menerima kelahiran selamat yang pertama pada 3 November 2023 jam 7.32 pagi.
“Ibu berusia 35 tahun telah melalui proses bersalin anak ketiga pada usia kandungan 36 minggu 6 hari dan disambut dengan selamat oleh kakitangan bertugas yang terlatih. Keadaan ibu dan bayi selepas proses bersalin juga adalah stabil dan baik,” katanya.
Menurut kenyataan tersebut, Pusat Bersalin Klinik Kesihatan Tekek ini telah dinaiktaraf dengan kelengkapan peralatan perubatan melalui sumbangan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), hasil cetusan idea dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada Februari 2022 sebanyak RM 2.9 juta.
“Pusat Bersalin Klinik Kesihatan Tekek merupakan fasiliti yang memberikan perkhidmatan penjagaan ibu mengandung dan bersalin di Pulau Tioman.
“Fasiliti ini telah dinaiktaraf dengan kelengkapan peralatan perubatan yang terkini melalui sumbangan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) hasil cetusan idea dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada Februari 2022 sebanyak RM 2.9 juta.
“Jabatan ini merafak sembah, menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah atas perkenan kurniaan kepada Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman,” katanya.
Beliau berkata berita kelahiran bayi ini juga telah disembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Perkhabaran gembira ini telah dimaklumkan ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan sumbangan kepada keluarga dan kepada bayi melalui simpanan ASNB atas nama bayi tersebut nanti.
“Jabatan ini sangat komited untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik khusus kepada ibu mengandung bagi memastikan ibu-ibu dapat bersalin dengan selamat di Pulau Tioman,” katanya. -PAHANGMEDIA

