Oleh : Fara Rosli
Foto : Farizul Hafiz Awang
ROMPIN, 2 NOVEMBER 2023 : Kerajaan Pahang dengan kerjasama Tourism Pahang menganjurkan Kejohanan Kanu Peringkat Antarabangsa bagi edisi ke-2 yang bakal berlangsung bermula esok hingga 5 November ini.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Cik Leong Yu Man berkata, kejohanan tersebut merupakan kejohanan kanu yang berprestij kerana pertama kali dianjurkan di dunia.
“Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) merupakan acara sukan pelancongan Negeri Pahang dalam usaha untuk meletakkan Negeri Pahang di dalam kalender sukan pelancongan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pahang Ocean Paddle International Challenge Edisi Ke-2 di Villea Golf and Resort, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengurus Besar Tourism Pahang, Tuan Kamaruddin Ibrahim; Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Pahang, Puan Nurwati Abdul Wahab; Presiden Kanu Malaysia, Yang Mulia Raja Azrimel Raja Sahar; serta Naib Pengerusi Ocean Canoe ICF, Rob Jeckinson.
Tambahnya lagi, pihak Kerajaan Negeri Pahang telah bersetuju untuk meletakkan acara ini sebagai ‘signature event’ di Negeri Pahang.
“Kejohanan ini juga bakal dijadikan sebagai acara tahunan, terima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana berjaya membawa acara ini ke Negeri Pahang,” katanya.
Tiga pantai popular di Pahang akan menjadi lokasi perlumbaan bagi edisi kali ini iaitu bermula di Pantai Rantau Panjang, Rompin, Pantai Lagenda, Pekan dan berakhir di Pantai Teluk Chempedak, Kuantan.
POPIC 2023 bakal mempertandingkan enam kategori iaitu Terbuka Antarabangsa SS1, Terbuka Malaysia TK2 dan Inter Varsity dengan jumlah penglibatan seramai lebih 200 penyertaan dari dalam dan luar negara. – PAHANGMEDIA

