Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
MELAKA, 02 NOVEMBER 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah amat mementingkan pemeliharaan serta pemuliharaan alam semula jadi.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini dapat di lihat menerusi ketegasan serta komitman Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang.
“Patik ingin menarik perhatian Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, serta pacal-pacal rakyat jelata Negeri Melaka di mana Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku amat mementingkan pemeliharaan serta pemuliharaan alam semula jadi.
“Ini dapat dilihat di mana di bawah ketegasan serta komitmen Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah berjaya mengekalkan status Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sainstifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNESCO pada tanggal 14 Jun 2023 yang lalu.
“Begitu juga dengan keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku terhadap usaha pemeliharaan Harimau Malaya yang sedang diancam kepupusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika persembahan ucapan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Festival Warisan dan Pelancongan Lintasan Budaya Melaka-Pahang 2023 di Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka.
Turut hadir, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Rostam, dan isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Wira Dr. Hajah Asmah Abd Rahman; Mantan Tuan Yang Terutama Negeri Melaka yang juga Mantan Menteri Besar Pahang, Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd. Khalil Yaakob; YAB. Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Zaidi Johari; barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang dan barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka.
Beliau berkata sebuah Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) Negeri Pahang di Lanchang, Temerloh seluas 80 hektar telah berjaya ditubuhkan hasil inisiatif KDYMM Pemangku Raja Pahang.
“Malah, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku juga, telah mewartakan Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah seluas 134,183 hektar secara berfasa, yang melibatkan Hutan Simpan Gunung Aais, Hutan Simpan Gunung Aais Tambahan serta Hutan Simpan Tekai Tembeling di Jerantut.
“Di samping itu, atas kesungguhan serta minat yang mendalam terhadap pemeliharaan Harimau Malaya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku juga, telah berjaya menganjurkan ‘1st Pahang Tiger Summit’ yang telah berlangsung pada tanggal 28 Julai 2023 yang lalu.
“Semua inisiatif yang telah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku laksanakan ini adalah bagi memastikan habitat Harimau Malaya dapat dilindungi,” katanya. – PAHANGMEDIA

