Oleh : Fara Rosli
Foto : Radin Mohd Norhilmi
BENTONG, 18 OKTOBER 2023 : “Bagus dia (Dato’ Sri Mohamad Sharkar) masih ingat kita orang lama, nasib baik saya masih sihat, cara ini (program Ziarah Kasih) yang mustahak sekali sebab tak kira anda dari parti mana, kita sama sahaja,” ujar Tuan Yum Ah Ha @ Yim Ah Ha mengenai keprihatinan YB Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohamad Sharkar Haji Shamsuddin.
Beliau yang merupakan bekas Ahli Dewan Negeri (ADUN) kawasan N.29 Ketari turut meluahkan kesanggupannya untuk mencurahkan bakti kepada Kerajaan Negeri Pahang sekiranya diperlukan pada bila-bila masa.

“Kalau Kerajaan Pahang masih perlu perkhidmatan saya, bila-bila saya boleh bantu, itu mustahak sekali, program ini (Program Ziarah Kasih) patut diteruskan sebab saya rasa kalau macam kita orang lama kita boleh bagi idea, yang slow and steady, banyak orang muda biasa mereka lebih agresif,” katanya.
Sementara itu, bagi bekas ADUN kawasan Benus, Tuan Loo Kou @ Lo Chiew Chuen, 90, turut menzahirkan rasa keterujaannya kerana pertama kali mendapat kunjungan peribadi oleh Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang kerumahnya di Kampung Perting.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana mari melawat saya, saya sangat gembira,” katanya yang merupakan seorang veteran bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang yang amat disegani dan berkhidmat sebagai ADUN Benus dari tahun 1969 sehingga 1974.
Kedua-dua bekas ADUN tersebut ditemui pada Program Ziarah Kasih Bekas Ahli Dewan Negeri Pahang bersama Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang di kediaman masing-masing, hari ini. – PAHANGMEDIA

