Oleh : Fara Rosli
Foto : Radin Mohd Norhilmi
BENTONG, 18 OKTOBER 2023 : Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang terus dihargai di atas jasa yang dicurahkan di negeri ini sekali gus mengiktiraf sumbangan yang telah mereka curahkan.
YB. Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohamad Sharkar Haji Shamsuddin berkata, ianya wajar untuk mengenang sumbangan mereka kerana dasar dan polisi di Negeri Pahang telah digubal oleh bekas-bekas wakil rakyat seterusnya membawa kepada permulaan pembangunan negeri ini.
“Mereka adalah merupakan pembuat dasar, bagaimana negeri Pahang ini daripada kita merdeka sampai sekarang membangun, disebabkan dasar atau pun polisi, kita menggubal beberapa undang-undang tubuh kita tukar, dan kita perbaiki mana-mana enakmen yang kita perlu laksanakan untuk keselesaan rakyat,” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih Bekas Ahli Dewan Negeri Pahang bersama Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang di Kampung Perting di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengakui rasa teruja dan gembira kerana dapat bertemu dengan bekas-bekas wakil rakyat sekali gus dapat berkongsi pengalaman bersama para veteran Ahli Dewan Negeri.

“Saya dan timbalan (Timbalan Speaker DUN Pahang) memikirkan apakah cara untuk kita merapatkan lagi silaturrahim kerana mungkin kalau kita buat satu program, kita panggil semua bekas wakil rakyat, tak semuanya dapat hadir sebab ada sebahagian daripadanya (ada) masalah kesihatan, faktor umur dan sebagainya, jadi saya bagitahu pada timbalan, pada waktu kita ada masa ini kita pergi melawat.
“Mungkin kita akan buat satu buku kepada bekas-bekas wakil rakyat kita yang lama ini, buku berkenaan dengan biodata dan juga sejarah mereka, sebab ini akan jadi rujukan untuk generasi akan datang, mungkin generasi muda pun tidak tahu beliau ini juga seorang bekas wakil rakyat kalau kita tak highlight mereka, sebab kita perlu kenang jasa,” ujarnya.
Antara bekas wakil rakyat yang diziarahi hari ini adalah Tuan Yum Ah Ha yang merupakan bekas ADUN N.29 Ketari yang berkhidmat dari tahun 2002 sehingga 2004 serta bekas ADUN Kawasan Benus, Tuan Loo Kou yang berkhidmat pada tahun 1969 sehingga 1974. – PAHANGMEDIA

