KUANTAN, 8 OKTOBER 2023 : Kerajaan Pahang memberi sumbangan berjumlah RM25,000 kepada keluarga Allahyarham Muhammad Izzat Abdul Wahab bagi membantu membawa pulang jenazah Allahyarham ke tanah air untuk dikebumikan di kampung halamannya di Kuantan.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail berkata, pihaknya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Izzat yang meninggal dunia ketika dalam tahanan imigresen di Pusat Imigresen Tachileik di Myanmar pada 14 Oktober lalu.

“Justeru Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bermesyuarat pada hari ini telah bersetuju untuk memberi sumbangan berjumlah RM25,000 kepada keluarga arwah bagi membantu membawa pulang jenazah Allahyarham ke tanah air.
“Saya mewakili Kerajaan Negeri Pahang melahirkan rasa sedih atas kejadian yang menimpa arwah. Saya berharap keluarga Allahyarham dapat bersabar atas dugaan berat yang sedang dihadapi ini dan marilah kita berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama-sama orang yang beriman,” katanya.
Beliau juga berharap agar orang ramai lebih berhati-hati ketika menerima sebarang tawaran bekerja di luar negara dan pastikan kesahihannya terlebih dahulu bagi mengelak menjadi mangsa perdagangan manusia. – PAHANGMEDIA

