Foto : Radin Mohd Norhafizan Nordin
KUANTAN, 18 OKTOBER 2023 : Profesor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi Mohd Zain dilantik sebagai Naib Canselor University College of Yayasan Pahang (UCYP) yang baharu menggantikan Prof. Emeritus Dato’ Dr Ahmad Hj Zainuddin.
Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Education Sdn. Bhd. (KESB), YH. Dato’ Sri Shahaniza Haji Shamsuddin berkata beliau berharap Profesor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi dapat membawa bersama pengalaman dan kepakaran yang luas untuk membimbing UCYP ke arah mencapai matlamat sebagai IPTS terunggul di negara ini.
“Saya harapkan dengan pelantikan beliau ini juga akan membantu memperkukuhkan UCYP dalam arena pendidikan Malaysia dan memastikan kelangsungan sumbangan kepada negara bagi generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Perjumpaan Pengerusi Lembaga Pengarah KESB dan Ketua Eksekutif Yayasan Pahang Bersama Naib Canselor UCYP di Kampus Utama UCYP Tanjung Lumpur di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi dan Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP, Tan Sri Dato’ Sri Profesor Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur.
Sementara itu, Profesor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi ketika ditemui berkata, beliau berharap dapat membawa UCYP terus cemerlang pada masa akan datang seperti yang diminta oleh kepimpinan tertinggi.
“Justeru itu saya mengharapkan sokongan semua pihak termasuk warga UCYP sendiri dalam memastikan semua perancangan yang akan dilaksanakan nanti akan berjaya,” katanya. – PAHANGMEDIA

