Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
KUANTAN, 17 OKTOBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) sebanyak RM 1.347 juta kepada institusi keagamaan dan pelajar di daerah ini.
Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad bantuan ini melibatkan tiga kategori penerima.
“Kerajaan Negeri Pahang juga menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang kepada 123 masjid dan surau yang memiliki Kebenaran Jumaat di sekitar Kuantan sebanyak RM10,000 sebuah dengan nilai keseluruhan RM1.23 juta.
“Sembilan buah maahad dan pondok di sekitar Kuantan menerima peruntukkan sebanyak RM2,000 sebuah dengan nilai keseluruhan RM18,000.

“Seramai 993 pelajar maahad dan pondok sekirar Kuantan juga menerima RM100 seorang dengan nilai keseluruhan RM99,300. Ini menjadikan jumlah keseluruhan implikasi kewangan sumbangan bernilai RM1,347,300,” katanya.
Beliau yang mewakili YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata demikian pada Program Pahang Berselawat 2023 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah hari ini.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang juga sedang membangunkan Bandar Mawaddah di Penor yang bercirikan bandar Islam moden dengan kerjasama Yayasan Pahang.
Seramai 4,000 pengujung hadir pada program anjuran Kerajaan Negeri Pahang melalui Yayasan Pahang dengan kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bersempena lawatan Habib Kazim Jaafar Assagaf ke Negeri Pahang pada 15 hingga 19 Oktober 2023. -PAHANGMEDIA

