Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 10 OKTOBER 2023 : Kerajaan Pahang menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) hari ini, telah meluluskan permohonan pengambilan tanah bagi Projek Menaik Taraf Jalan Lubuk Kulit–Sungai Ular di Daerah Lipis.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kelulusan itu melibatkan 32 lot tanah hak milik dengan keluasan yang diambil adalah 3.5509 hektar (8.7745 ekar) di Mukim Telang dan Batu Yon di daerah berkenaan.
“Jajaran projek ini melibatkan lot tanah di perkampungan Lubuk Kulit bermula dari Jambatan Berchang Baru dan berhampiran dengan Dewan Orang Ramai Lubuk Kulit serta Sekolah Kebangsaan Lubuk Kulit dan berakhir di jalan masuk ke Pejabat Ladang Bukit Puteri berhampiran dengan Masjid Sungai Ular dan Pusat Internet Komuniti RTP Sungai Ular,” katanya dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebooknya, hari ini.
Jelasnya, kelulusan permohonan pengambilan tanah ini mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Pengambilan Tanah 1960 di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Sehubungan itu, KKDW telah menyediakan anggaran peruntukan kos keseluruhan projek sebanyak RM66 juta dengan anggaran kos pampasan pengambilan tanah sebanyak RM3.63 juta.
“Saya berharap projek naik taraf jalan di kawasan ini dapat memberikan kemudahan perhubungan jalan raya yang selamat dan selesa serta meningkatkan taraf kehidupan yang sejahtera kepada rakyat,” katanya. – PAHANGMEDIA