Oleh : Fansurina Abdullah
LIPIS, 10 OKTOBER 2023 : Penganjuran Karnival Tanah oleh Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) Pahang berjaya mengutip hasil berjumlah RM259 juta sejak penganjurannya pada 22 Julai lepas.
Pengarah PTG Pahang, YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, daripada jumlah itu, Daerah Raub mencatatkan kutipan tertinggi dengan RM105.4 juta diikuti Lipis RM93.6 juta dan Kuantan RM23.9 juta.
“Untuk mencapai sasaran tahun 2023 ini kita memerlukan lebih kurang RM60 juta dan Insya-Allah perkara itu kita akan capai dan saya bersyukur kepada Allah swt atas pencapaian ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Karnival Tanah Peringkat Negeri Pahang Tahun 2023 “Syukuri Nikmat, Laksana Tanggungjawab, Jelaskan Cukai Tanah Anda” oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini baru-baru ini.
Hadir sama ialah YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Zulkifli Yaacob, YB Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Long dan Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Pada majlis sama turut diadakan Pelancaran ‘Water Surge System oleh Universiti Malaysia Pahang Sulatan Abdullah (UMPSA).
Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran Karnival Tanah ini bertujuan memberi pengetahuan dan menyalurkan maklumat kepada orang ramai khususnya pemilik tanah tentang kepentingan menunaikan tanggungjawab kepada Negeri Pahang.
“Objektif kita adalah untuk membawa masyarakat lebih berpengetahuan dan kita sebarkan maklumat dan pada masa yang sama kita mendidik mereka bahawa ini adalah tanggungjawab apabila Kerajaan Negeri telah mengurniakan tanah berkenaan jadi tanggungjawab pemilik-pemilik adalah membayar cukai,” katanya.
Program yang julung kali diadakan ini akan menjadi acara tahunan di Pahang kerana kejayaannya mendapatkan hasil kutipan yang tinggi kepada Kutipan Hasil Negeri Pahang. – PAHANGMEDIA

